Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir menyokong gesaan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Bung Moktar Radin supaya siasatan menyeluruh dilakukan terhadap pendedahan klip video membabitkan Adun Sabah yang didakwa terlibat dengan rasuah.
"Selaras dengan kenyataan Bung, saya menyatakan sokongan penuh agar satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung skandal rasuah mengaitkan beberapa orang Adun Sabah yang tular baru-baru ini.
“Pendedahan-pendedahan ini harus disiasat oleh pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pihak pemberi dan penerima rasuah demi memastikan keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan.
"Isu ini bukan sahaja melibatkan integriti, tetapi juga kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Negeri Sabah,” Ahli Parlimen Libaran itu dipetik Umno Online.
Jumaat lalu, Bung menafikan penglibatan Umno Sabah dan menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan membabitkan pemberi serta penerima rasuah dalam siri klip video berkenaan.
"Kami tidak terlibat dalam skandal ini."
"Sekarang ini saya nampak pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuduh ada perasuah. Jadi, jika ada perasuah, bermakna ada orang yang dirasuah. Bermakna kedua-dua pihak ini perlu dilihat oleh SPRM.
“Mana-mana YB terlibat, maka panggillah, siasatlah,” kata Bung.
Mengulas lanjut, Suhaimi turut mengecam pihak yang cuba mengaitkan Umno Sabah dengan skandal itu.
"Saya mengecam penyebaran maklumat yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang mengaitkan Umno Sabah dengan penyebaran skandal-skandal ini. Saya menafikan sekeras-kerasnya.
“Akhir sekali, kita beri ruang seluas-luasnya dan hormat kepada proses siasatan. Ini agar siasatan mampu dijalankan secara tuntas, teliti dan adil mengikut lunas undang-undang tanpa gangguan,” katanya lagi.
Pada 12 Nov lalu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata dia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung dakwaan itu, namun turut menggesa supaya “pemberi rasuah” itu ditangkap dan disiasat terlebih dahulu.
"Itu pemberi rasuah mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat inilah yang keluar.
"Jadi bagi saya untuk lebih adil, tangkap dia dulu, siasat dia," kata Hajiji.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan bahawa pendirian Hajiji agar pemberi maklumat disiasat terlebih dahulu perlu menjadi pegangan kepada semua pihak.
"Saya telah meneliti laporan-laporan media tentang rakaman perbualan tersebut dan mendapati pendirian Hajiji harus menjadi pegangan kepada pemimpin parti lain.
"Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir Oktober 2025 dan kita harus menjangkakan apa juga (boleh) berlaku bergantung kepada hasil siasatan yang diteruskan pihak berkuasa," katanya.