SPRM hari ini memaklumkan telah menerima aduan seorang ahli perniagaan di Sabah yang disyaki terbabit dalam isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
Ia dipercayai berkaitan tindakan pemberi maklumat berkenaan yang telah membuat beberapa siri pendedahan terhadap beberapa Adun Sabah, di mana dia turut mengakui memberi rasuah terhadap wakil rakyat berkenaan.
Dalam satu kenyataan, SPRM berkata suruhanjaya itu telah merekodkan keterangan lima Adun Sabah bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal berhubung aduan tersebut telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang disyaki terlibat isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan.
"Setakat ini, lima orang Adun telah dipanggil untuk dirakam percakapan, dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan telus dan menyeluruh.
Sebelum ini seorang pemberi maklumat menyatakan kesediaan untuk berkongsi bukti yang dimiliki dengan SPRM membabitkan dakwaan rasuah Adun di Sabah.
Dia juga megakui merupakan pemberi rasuah dalam kes berkenaan. Bagaimanapun individu itu mahu SPRM memberinya perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA).