Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC minta Malaysiakini padam video 'RM70 juta' Sabah, laporan
Diterbitkan:  Nov 17, 2024 11:04 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta Malaysiakini "mengeluarkan serta-merta" satu artikel dan video yang didakwa berkaitan skandal rasuah di Sabah.

Video tersebut membabitkan Adun Tempasuk, Arsad Bistari, yang mengadu mengenai "projek RM70 juta yang telah disekat" dan menyalahkan "pasukan lama" yang terdiri daripada menteri kewangan negeri, Masidi Manjun.

Dalam surat bertarikh 16 Nov, MCMC menyatakan artikel dan video itu boleh mengganggu siasatan polis berhubung ancaman bunuh terhadap pemberi maklumat berkenaan dan menjejaskan keselamatan serta privasi individu itu.

Video itu adalah salah satu daripada empat video yang diterbitkan oleh Malaysiakini. MCMC bagaimanapun tidak menyebut mengenai rakaman lain.

Semalam, Arsad mendakwa video itu "disunting dengan niat niat jahat" dan dia berbual secara sarkastik dengan pemberi maklumat berkenaan kerana mengesyaki individu itu mempunyai niat tidak jelas.

“Adalah tidak wajar untuk merumuskan perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang,” katanya.

Ugutan bunuh

Pada 12 Nov lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa pemberi maklumat berkenaan membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh yang diterimanya menerusi satu panggilan daripada nombor luar negara.

Katanya, melalui panggilan selama kira-kira 16 saat itu, seorang lelaki mengugut - dalam bahasa Cina dan mendakwa daripada kumpulan pembunuh upahan yang diarahkan untuk membunuhnya dalam tempoh 24 jam jika gagal menutup mulut.

“Pemanggil itu turut menghantar gambar pistol dan peluru serta gambar seorang lelaki yang ditembak dan terbaring di atas jalan,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemberi maklumat itu juga memberikan salinan laporan polis beserta imej yang diterimanya kepada Malaysiakini. Bagaimanapun, dia meminta lokasi di mana dia membuat laporan polis tidak disebut atas sebab keselamatan.

Pemberi maklumat itu memiliki lapan video, yang telah dilihat Malaysiakini, mengandungi perbincangan antara dia dan beberapa menteri dan Adun Sabah, termasuk Timbalan Ketua Menteri, Shahelmey Yahya bagi membincangkan pemulangan sejumlah wang.

Pemberi maklumat itu mendakwa wang itu merupakan rasuah yang diberikan kepada mereka untuk menyokong lesen bagi projek perlombongan dan dia meminta wang itu dikembalikan memandangkan lesen itu telah dibatalkan.

Dalam video yang disiarkan, bahagian yang mengandungi perbincangan itu telah dikeluarkan.

Pemberi maklumat tersebut bersedia mengemukakan bukti kepada SPRM dengan syarat dia diberikan imuniti dan perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010.

Malaysiakini sedang berunding dengan peguamnya berhubung permintaan MCMC. Portal ini juga sedang menghubungi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk mendapatkan penjelasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS