Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Zaid Ibrahim menamakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani dan Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, sebagai calon berpotensi untuk menjadi perdana menteri seterusnya.
Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, ahli politik veteran itu berkata dia berpendapat kedua-dua menteri daripada Umno itu mampu dan berkebolehan untuk menggantikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
"Saya suka Johari kerana beliau baik, pandai dan ciri-ciri ini membolehkan beliau menjadi perdana menteri.
“Mohamed Khaled walaupun beliau banyak diam, tetapi teliti dan tiada kontroversi selain berpengalaman dalam politik," kata Zaid seperti yang dipetik oleh akhbar harian berbahasa Melayu itu.
Mengenai Ahmad Zahid Hamidi pula, Zaid menggambarkan timbalan perdana menteri itu sebagai “bagus tetapi kontroversi”.
Zaid bagaimanapun tidak menyebut nama seorang lagi timbalan perdana menteri dari Sarawak, Fadilah Yusof sebagai calon berkelayakan untuk dipilih sebagai perdana menteri.
"Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun bagus tetapi, kontroversi. Beliau ada peranan, tetapi disebabkan kontroversi kes mahkamah walaupun sudah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), namun rakyat tidak lupa," kata Zaid merujuk kepada 47 tuduhan rasuah terhadap Zahid.
Zaid menjelaskan dia menyebut Johari sebagai pilihan pertama kerana pengalaman luas naib presiden Umno itu, dengan latar belakang dalam bidang ekonomi dan kewangan.
"Jadi, beliau sesuai menjadi perdana menteri. Tetapi, terpulang kepada Umno lah, jika mahu Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pun saya boleh terima sebab berpengalaman dan cantik," tambahnya.
Johari, 60 merupakan seorang akauntan bertauliah dan aktif dalam dunia korporat selama lebih dua dekad sebelum memulakan kerjaya politiknya dengan Umno pada akhir 1980-an.
Dia dipilih sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa sebanyak dua penggal, termasuk selepas PRU13 di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.
Antara tahun 2013 dan 2018, Johari dilantik sebagai timbalan menteri kewangan dan kemudian sebagai menteri kewangan II dalam satu rombakan kabinet.
Dia kini memegang 25 peratus kepentingan dalam Media Prima Berhad melalui JAG Capital, syarikat pelaburannya, manakala anaknya Amir Rasyidi mengetuai kumpulan tersebut sebagai ketua pegawai pemasaran.