Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video rasuah: Adun Tempasuk dakwa video disunting dengan niat jahat
Diterbitkan:  Nov 16, 2024 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Adun Tempasuk Arsad Bistari, yang dirakam merungut berkenaan projek lumayan yang “disekat”, mendakwa perbualan dengan pemberi maklumat itutelah disunting dengan niat jahat.

Arsad berkata dia hanya berbual secara sarkastik, menurut laporan Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Arsad, dia berbual secara sarkastik kerana mengesyaki individu yang bertemu dengannya dalam video itu mempunyai niat tidak jelas.

“Perbualan saya dalam rakaman yang disunting dan disebar dengan niat jahat itu dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.

“Adalah tidak wajar untuk merumuskan perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang,” katanya.

Pada Khamis lalu, pemberi maklumat tersebut - yang mendakwa ada bukti kes rasuah melibatkan lapan Adun - mendedahkan video perbualannya dengan Arsad.

Malaysiakini difahamkan video itu telah disunting daripada versi rakaman yang lebih panjang perbualan antara pemberi maklumat dengan Arsad.

Projek ‘disekat’

Dalam rakaman itu, perbualan berkisar projek yang “disekat” oleh seseorang, yang dipercayai merujuk kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Banyak, Tenom (projek) terbaru, RM70 juta,” katanya dalam video itu, merujuk antara projek yang “disekat”.

“RM70 juta, saya kutip 20 peratus. Berapa banyak duit? Konsesi tiga tahun. Kau fikir saya tidak sakit hati?

“Saya belanja ketua bahagian berapa banyak sudah,” katanya.

Dalam video itu, Arsad juga dilihat menyalahkan Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun atas apa yang berlaku.

Dalam penjelasannya hari ini, Arsad berkata dia menghormati “kedudukan serta budi” Hajiji dan Masidi.

“Tuduhan bahawa saya menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya ‘dihalang’ adalah tidak benar dan sengaja diputar belit termasuk dakwaan penglibatan ADUN Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu dan Labuk dalam perbualan berkenaan,” katanya.

Menurut Arsad, dia hanya membangkitkan cabaran untuk melaksanakan projek besar di Sabah kerana proses kelulusan yang melibatkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi.

Dia berkata akan memberi kerjasama kepada SPRM jika diperlukan dan pada masa sama akan meneroka tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pihak yang dikatakan menyebarkan maklumat salah dan memutarbelitkan kenyataannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS