Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banduan tahanan rumah pakai peranti pengesan jika RUU lulus
Diterbitkan:  Nov 16, 2024 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Banduan yang menjalani tahanan rumah akan dipakaikan dengan alat peranti pengesan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) akta baru tahanan rumah yang dicadangkan diluluskan Parlimen, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pemakaian alat itu bertujuan untuk mengesan kedudukan banduan yang sedang menjalani perintah di bawah akta terbabit.

"Undang-undang sedia ada ketika ini tidak mempunyai peruntukan yang membolehkan pesalah menjalani hukuman di tahanan rumah.

"Oleh itu, RUU akta baru ini juga mampu membantu mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara yang ketika ini sedang berlaku di penjara seluruh negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Madani Komisioner Jeneral Penjara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga di Pasir Mas hari ini.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan rekod jumlah banduan di seluruh negara ketika ini mencecah 87,000 orang sedangkan kapasiti penjara hanya mampu menampung 74,000 orang.

"Oleh itu, kementerian saya menyasarkan 28,000 banduan menjalani tahanan reman di rumah apabila akta ini direalisasikan," katanya.

Beliau berkata RUU akta berkenaan hanya akan melibatkan pesalah yang berstatus tahanan reman dalam penjara dan tidak melibatkan pesalah yang terlibat jenayah berat seperti rogol atau dadah.

Saifuddin Nasution berkata Kabinet juga telah memberikan keputusan dasar untuk memulakan RUU akta itu dan kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS