Pemimpin Bersatu Azmin Ali menegaskan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak harus dipolitikkan mahupun dipersulitkan.
Malah bekas Menteri Besar Selangor itu berkata dia sendiri tidak teragak-agak memberi pengiktirafan kepadanya ketika menjadi menteri besar Selangor.
“Soal UEC ini bukan perkara baru bagi saya, ketika saya menjadi menteri besar pada 2014 hingga 2018, dalam tempoh yang singkat saya tidak teragak-agak, dalam 2015 saya telah pun mengiktiraf UEC untuk masa depan negara.
“Mengapa perkara ini harus dipolitikkan? Sedangkan kita tahu ada sekitar 60 sekolah persendirian (Cina ketika itu), bukanlah satu jumlah yang besar,
“(Sekolah berkenaan) bebas bukan dari segi kurikulum, tetapi dari segi dana dan peruntukan pengurusan sekolah-sekolah tersebut yang tidak dibiayai oleh kerajaan. Ia dibiayai pihak swasta, individu dan keluarga penuntut sekolah berkenaan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Sayap Bersekutu Bersatu Selangor, di Shah Alam, hari ini.
Azmin merujuk keputusannya untuk menjadikan UEC sebagai sijil yang diterima untuk kemasukan ke Universiti Selangor (Unisel).
Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 pada 30 Oktober 2015, Azmin berkata pengiktirafan itu berkuat kuasa serta merta dan sebagai pengiktirafan kepada peranan sekolah persendirian Cina dalam pembangunan modal insan.
Turut hadir di Konvensyen Sayap Bersekutu Bersatu Selangor adalah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Chong Fatt Full dan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Selangor Goh Gaik Meng.
Azmin yang juga ketua Bersatu Selangor berkata demikian ketika mengulas isu UEC yang dibangkitkan Goh.
Terdahulu, Goh dalam ucapannya menempelak parti dalam kerajaan perpaduan yang didakwanya gagal mengiktirafkan UEC seperti dijanjikan.
Sebelum ini antara pihak yang membantah UEC adalah pemimpin PAS yang juga parti komponen dalam PN.
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini turut membangkitkan perkara itu dengan anggapa ia mengancam ‘kuasa Melayu’.
Sementara itu, Azmin berkata isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya dipersulitkan dan pendidikan berkualiti adalah hak yang dijamin Perlembagaan.
“Mengapa perkara ini harus dipersulitkan…Kita semua rakyat Malaysia kita ingin menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.
Dia berkata kanak-kanak tanpa mengira kaum berhak mendapat akses pendidikan yang bermutu.
“Apabila mereka mendapat pendidikan yang baik, pastinya dapat menjamin masa depan mereka dan engurangkan masalah sosioekonomi, samseng, jenayah, dan kesannya cukup positif untuk masa depan negara,” katanya lagi.
Pada sidang Dewan Rakyat 11 November lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berharap isu pengiktirafan UEC tidak dipolitikkan untuk meraih sokongan politik.
Zambry juga mengesyorkan supaya kajian menyeluruh dibuat berkenaan UEC dan bukannya dibangkitkan secara bermusim untuk meraih sokongan politik.