Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM ambil kenyataan dari timbalan KM Sabah, dua Adun

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas video tular baru-baru ini melibatkan beberapa Adun Sabah yang didakwa terlibat dalam dakwaan rasuah, menurut maklumat yang diperoleh oleh Malaysiakini.

Malaysiakini pagi ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan kenyataan daripada wakil rakyat Kemabong, Rubin Balang.

Kemudian, The Star melaporkan SPRM turut mengambil kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmy Yahya dan Adun Tempasuk Arsad Bistari.

Pemberi maklumat mendedahkan klip rakaman tiga video yang didakwa membabitkan ketiga-tiga individu yang disoal siasat oleh SPRM.

Terdahulu, Rubin (gambar, atas) mengesahkan dia dipanggil oleh agensi anti-rasuah itu untuk menjawab soalan berhubung dakwaan melibatkan dirinya.

Menurut wakil rakyat Kemabong, Rubin Balang, yang turut dipaparkan dalam rakaman tersebut, dia telah dipanggil oleh agensi anti-rasuah itu untuk menjawab soalan berhubung dakwaan melibatkan dirinya.

“SPRM telah (memulakan) siasatan ke atas saya berhubung isu tular itu.

“Saya rasa tidak sesuai untuk memberi sebarang komen buat masa ini,” katanya melalui mesej teks kepada Malaysiakini, sambil menyatakan kenyataannya telah direkodkan oleh pegawai penyiasat semalam.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) yang dimiliki kerajaan negeri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan rasuah tersebut.

Dalam salah satu pendedahan, pemberi maklumat di sebalik rakaman video itu mendakwa Rubin menerima lesen carigali mineral arang batu pada tahun 2023 sebagai ganjaran kerana menyokong Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Lesen tersebut didakwa diluluskan kepada sebuah syarikat bernama Wawasan Pembangunan Desa Permai Sdn Bhd pada 14 Julai 2022, di mana pada waktu itu Rubin dikatakan memegang saham majoriti dalam syarikat tersebut.

Turut didakwa bahawa kelulusan lesen itu merupakan satu bentuk konflik kepentingan kerana Rubin memegang jawatan bertaraf menteri selaku pengerusi Sedco.

Rubin dilantik ke jawatan tersebut pada 5 Disember 2020, kurang tiga bulan selepas memenangi kerusi DUN Kemabong.

Dakwaan ini adalah kesinambungan daripada video yang didedahkan oleh pemberi maklumat tersebut pada Rabu lalu, yang menunjukkan Rubin mendedahkan bahawa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memberikannya “satu” walaupun dia meminta “dua.

Malaysiakini telah menghubungi Hajiji dan Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mendapatkan respons terhadap dakwaan tersebut.

Kenyataan bercanggah dengan Azam

Namun, kenyataan Rubin bahawa dia telah dipanggil SPRM dilihat bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kepada media semalam.

Azam menegaskan bahawa SPRM belum menerima aduan rasmi daripada pemberi maklumat tersebut dan mereka tidak boleh menjalankan siasatan hanya berdasarkan andaian daripada video yang tular.

“Untuk berkata SPRM patut mulakan siasatan, apa yang hendak disiasat?

“Kononnya, tular di media sosial bahawa (video) itu berlaku di Sabah dan sebagainya.

“Saya sendiri tidak tahu adakah itu yang dimaksudkan dan SPRM tidak boleh membuat sebarang telahan tidak berasas,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Azam turut mempersoalkan motif pemberi maklumat tersebut memberi rakaman video berkualiti tinggi kepada Malaysiakini tetapi hanya memberikan klip audio selama 17 saat yang “kurang jelas” kepada suruhanjaya itu.

Laporan tambahan oleh Hariz Mohd


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS