Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menyifatkan pemberi maklumat yang mendedahkan video berkenaan skandal rasuah lapan Adun di Sabah seperti ‘ada udang di sebalik batu’.
Bakal timbalan presiden Bersatu itu berkata, individu tersebut sepatutnya memberi maklumat kepada pihak berkuasa secara diam.
“Kalau pemberi maklumat itu sudah pun memaklumkan dia pemberi maklumat, apa imuniti yang dia nak? Dia dah maklumkan kepada semua bahawa dia pemberi maklumat.
“Sepatutnya tiada yang tahu siapa pemberi maklumat . Ini orang dah tahu siapa dia. Jadi ada konflik di situ, saya ingat ia yang menimbulkan masalah kepada SPRM,” katanya kepada media di Konvensyen Sayap Bersekutu Bersatu Selangor di Shah Alam, Selangor hari ini.
Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syarat pemberi maklumat terhadap SPRM bagi mendedahkan isu rasuah yang didakwa mengaitkan lapan Adun di Sabah.
Pemberi maklumat itu menjadi tajuk utama sejak Sabtu lalu selepas Malaysiakini melaporkan bahawa dia mendakwa mempunyai lapan video menunjukkan Adun berbincang mengenai wang rasuah yang diterima.
Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menggesa pemberi maklumat membuat laporan tetapi menyatakan pihaknya tidak boleh memberikan jaminan hitam putih bahawa dia tidak akan disiasat atau didakwa tanpa maklumat terperinci.
Berdasarkan undang-undang, kata Azam, apabila individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi di bawah undang-undang.
Bagaimanapun perlindungan tersebut boleh dibatalkan jika individu berkenaan turut terbabit dalam kesalahan itu, katanya.
Peguam Haniff Khatri Abdulla pula berkata SPRM tidak perlu berlengah dalam memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat itu daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah.
Katanya, SPRM perlu menerima hakikat yang mereka memerlukan keterangan pemberi maklumat itu untuk membuat pendakwaan ke atas ahli politik yang didakwa terlibat.
Dalam pada itu, Hamzah menegaskan pemberi maklumat sepatutnya mematuhi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Bukan saya nak pertahankan sesiapa, tapi kita kena sedar bahawa kalau dia nak ikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, dia sepatutnya buat diam-diam dulu.
“Ini dia expose macam ini, macam ada udang di sebalik batu, faham-faham sajalah (kemungkinan ada kepentingan),” katanya lagi.