Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah di Gebeng dijual untuk pajakan 99 tahun, bukan hak milik kekal - MB
Diterbitkan:  Nov 16, 2024 11:40 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Kerajaan Pahang menjelaskan penjualan tanah perindustrian di Harbour Bay, dekat Gebeng kepada sebuah syarikat adalah dengan tempoh pajakan 99 tahun, bukannya menjadi hak milik kekal.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian ketika menjawab kenyataan  Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu berkaitan perkara itu, yang menurutnya dibuat dengan niat menimbulkan persepsi tidak baik kepada kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata, penjualan tanah seluas 23.96 hektar kepada Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe) adalah untuk kegunaan industri, dengan syarikat itu akan membangunkan kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia membabitkan pelaburan kira-kira RM3 billion. 

"Sebagai pelabur yang akan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mendirikan loji berkapasiti tinggi di atas tanah itu, Petroluxe memerlukan jaminan pihaknya boleh mengguna pakai tapak loji penapisan tersebut secara berterusan, iaitu dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangka masa terhad, " katanya dalam kenyataan.

Dia juga menegaskan Petroluxe adalah syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dengan pemegang saham utama adalah Unigrand Petroluxe Sdn Bhd. 

Oleh itu, katanya lagi, tidak wujud isu pemilikan tanah oleh syarikat asing secara terus. 

Bagaimanapun, laporan Bernama pada 13 November lalu berkenaan penjualan tanah itu menyebutkan Petroluxe adalah syarikat milik pelabur dari China.

Semalam, Andansura meminta kerajaan negeri dan Pasdec Holdings Bhd (Pasdec) memberi penjelasan berhubung penjualan tanah itu kepada syarikatnya yang menurutnya dari China.

Adun Beserah itu berkata, ini kerana butiran lengkap berkaitan transaksi berkenaan tidak didedahkan.

"Adakah penjualan itu memberikan hak milik kekal kepada syarikat dari China atau hak milik sementara...Kalau hak milik sementara, berapa lama jangka waktu hak milik sementara itu," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata penjualan tanah kepada pelabur dari negara luar untuk membangunkan industri bukan perkara baru, malah sudah lama diamalkan kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia.

"Saya juga telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri meneliti dan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap kerajaan Pahang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS