Ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mempersoalkan tindakan pemberi maklumat memberikan video definisi tinggi (HD) kepada Malaysiakini berhubung dakwaan skandal rasuah di Sabah, sedangkan suruhanjaya itu hanya menerima klip audio 17 saat yang “kurang jelas”.
“Ini satu helah (trick) yang tidak berpatutan,” katanya, seperti dipetik Bernama.
“Kenapa kami yang berada di pihak penguatkuasaan kamu tidak percaya?” soalnya.
Azam (gambar atas) juga menyatakan kehairanan dengan gesaan untuk menyiasat video-video pemberi maklumat yang disiarkan di Malaysiakini.
“Untuk berkata SPRM patut mulakan siasatan, apa yang hendak disiasat?
“Kononnya, tular di media sosial bahawa (video) itu berlaku di Sabah dan sebagainya.
“Saya sendiri tidak tahu adakah itu yang dimaksudkan dan SPRM tidak boleh membuat sebarang telahan tidak berasas,” tambahnya.
Azam turut berkata SPRM secara formal tidak mengetahui siapa individu yang terlibat dalam skandal video itu.
"Sehingga kini individu berkenaan sudah tidak datang kepada kami untuk beri maklumat. Apabila tiada laporan kepada kami, secara profesionalnya tiada aduan dibuat.
"Saya juga sudah gesa individu terbabit untuk datang ke SPRM kerana dia yang mulakan perkara ini,” tambahnya.
Untuk rekod pelbagai pihak menyatakan SPRM boleh membuat laporan sendiri mengenai perkara itu tanpa perlu menunggu mana-mana individu berbuat demikian.
Pendedahan video
Sepanjang minggu lalu, pemberi maklumat, yang merupakan seorang ahli perniagaan, mendedahkan video-video yang melibatkan Adun di Sabah, yang didakwa menerima rasuah daripadanya untuk menyokong permohonan lesen perlombongan.
Dia berjanji menyerahkan semua rakaman, dokumen, butiran perbankan, dan tangkap layar mesej WhatsApp kepada SPRM sekiranya diberi imuniti dan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Azam juga mengulangi bahawa peguam pemberi maklumat tersebut telah bertemu dengan pegawainya pada 30 Oktober dan memainkan rakaman audio berkenaan.
Dia berkata peguam itu telah meminta imuniti dan perlindungan untuk anak guamnya.
“Pihak SPRM telah menyatakan kepada mereka bahawa perkara itu tidak boleh diberikan kepada mana-mana individu, bukan kerana kes ini…imuniti itu tidak boleh diberikan sehingga kes dikemukakan kepada pendakwa raya untuk membuat keputusan.
“Kes rasuah ini yang paling senang adalah perbuatan memberi dan menerima, kedua-duanya merupakan kesalahan. Tapi kita tengok jugalah darjah penglibatan mereka yang dikatakan memberi,” katanya.
Azam berkata perlindungan diberikan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kepada mereka yang tidak melakukan “tingkah laku tidak wajar”.
"Lebih penting, individu itu perlu menzahirkan maklumat yang mahu diberikan kepada SPRM, barulah kami boleh buat keputusan,” katanya.
Tambahnya sebarang tindakan yang akan diambil oleh SPRM berkaitan skandal video itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan pihaknya sedang melihat apakah merit video terbabit sama ada untuk dijalankan siasatan atau tidak.
‘Motif jahat’
Sepanjang minggu lalu, Malaysiakini telah menyiarkan empat video daripada pemberi maklumat tersebut, dengan tiga daripadanya menampilkan ADUN, termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah, Shahelmey Yahya.
Video lain pula memaparkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management (SMM), Jontih Enggihon, yang mendakwa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menyalahgunakan kuasa.
Pemberi maklumat itu mendakwa memiliki lapan video secara keseluruhan, yang telah dilihat oleh Malaysiakini.
Hajiji, yang berjanji akan bekerjasama dengan SPRM, bagaimanapun, menggesa suruhanjaya tersebut untuk menahan dan menyiasat pemberi maklumat itu terlebih dahulu.
Mendakwa bahawa pemberi maklumat tersebut mempunyai motif jahat, dia juga berkata pendedahan video-video itu mungkin bertujuan melemahkan kerajaan negeri pimpinannya.
Pesaing politiknya, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, menggesa SPRM menyiasat pihak pemberi dan penerima rasuah seperti yang didakwa.
Dia turut menafikan terlibat dalam skandal tersebut.