Sebuah mahkamah pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara setahun, yang digantung selama dua tahun, kepada ketua pembangkang Lee Jae-myung atas kesalahan berbohong semasa kempen presiden lepas ketika beliau menjadi calon. Jika keputusan itu dikekalkan, Lee boleh kehilangan kerusi parlimennya dan dilarang bertanding dalam pilihan raya presiden 2027.
Agensi berita Yonhap melaporkan Mahkamah Daerah Pusat Seoul menyatakan Lee, ketua Parti Demokrat (DP) pembangkang utama, bersalah membuat kenyataan palsu yang melanggar Akta Pilihan Raya Rasmi Awam dan menjatuhkan hukuman penjara setahun, digantung selama dua tahun.
Lee didakwa berbohong semasa temu bual media pada Disember 2021, mengatakan bahawa beliau tidak mengenali mendiang Kim Moon-ki, bekas eksekutif Seongnam Development Corp., yang terlibat dalam projek pembangunan di Seongnam yang penuh dengan isu rasuah semasa Lee menjadi Datuk Bandar. Lee juga mencadangkan bahawa beliau tidak bermain golf dengan Kim semasa lawatan perniagaan ke Australia.
Dalam kes berasingan, Lee didakwa berbohong semasa audit parlimen terhadap kerajaan wilayah Gyeonggi pada Oktober 2021, mendakwa bahawa beliau ditekan oleh kementerian tanah untuk menukar status kawasan bekas tapak Institut Penyelidikan Makanan Korea di Seongnam.
Tapak itu kemudian dibangunkan menjadi kompleks pangsapuri oleh pemaju swasta dan timbul dakwaan bahawa Lee menukar status tanah itu untuk memberikan keistimewaan kepada syarikat berkenaan, menurut Yonhap.
Mahkamah berkata semua kenyataan itu adalah pembohongan, walaupun bahagian tentang tidak mengenali Kim secara sah tidak boleh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang pilihan raya.
"Sekiranya kenyataan palsu dibuat kepada pengundi semasa pilihan raya, pendapat umum boleh diputarbelitkan dan dirosakkan", kata mahkamah sambil menyatakan kenyataan Lee mempunyai impak besar kerana ia disiarkan oleh media.
"Kesalahannya cukup berat," tambah mahkamah. "Kebebasan bersuara semasa pilihan raya perlu diiktiraf, tetapi penyelewengan pendapat awam melalui penyebaran maklumat yang salah akibat kenyataan palsu juga perlu diambil kira."
Lee dilihat sebagai calon pilihan dalam pilihan raya presiden akan datang, selepas tewas tipis kepada Presiden Yoon Suk Yeol dengan margin 0.73 peratus pada 2022.
Di bawah Akta Pilihan Raya Rasmi Awam, mahkamah hanya perlu menjatuhkan denda sebanyak 1 juta won (US$710) atau lebih untuk melucutkan kerusi parlimen Lee dan melarangnya bertanding jawatan awam selama lima tahun, termasuk pilihan raya presiden 2027.
Jika keputusan pada Jumaat itu dikekalkan, DP juga perlu memulangkan 43.4 bilion won yang diterima daripada badan pemantau pilihan raya negara untuk menampung perbelanjaan pilihan raya presiden 2022.
Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara dua tahun terhadap Lee.
Lee berkata beliau akan mengemukakan rayuan.
"Ini adalah keputusan yang sukar diterima, bermula dengan fakta asas," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Keputusan itu adalah yang pertama daripada empat hukuman yang akan dijatuhkan ke atas ketua pembangkang itu, yang kini menghadapi tiga perbicaraan lain atas dakwaan menyuruh bekas setiausaha datuk bandar memberi keterangan palsu di mahkamah, rasuah berkaitan projek pembangunan Seongnam dan terlibat dalam pemindahan wang tunai haram US$8 juta ke Korea Utara.
- Bernama-Yonhap