Gara-gara khatib menggunakan teks khutbah yang belum dibetulkan, solat Jumaat di 16 masjid di sekitar daerah Rembau, Negeri Sembilan, pada 8 Nov lalu dianggap terbatal dan jemaah diminta segera mengqada sembahyang mereka.
Arahan itu dikeluarkan oleh Mufti Negeri Sembilan, Faudzinaim Badaruddin, melalui surat yang dikeluarkannya pada 13 Nov lalu.
Menurut laporan Utusan Online, kesilapan yang menjejaskan kesahan solat Jumaat berkenaan ialah teks yang dibaca khatib tidak cukup rukun, iaitu peringatan agar umat Islam bertakwa.
Lafaz "ittaqullah" itu mesti dibaca dalam bahasa Arab.
“Khatib tidak membaca ittaqullah sedangkan ia rukun yang perlu dibaca dengan bahasa Arab.
"Isu tersebut tidak berlaku di daerah lain setakat yang diketahui.
“Nasihat Jabatan Mufti Negeri Sembilan kepada para jemaah yang terlibat ialah agar menqantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur,” katanya.
Laporan itu menyebut masjid yang terlibat ialah:
* Masjid Kariah Pekan Pedas
* Masjid Kariah Batu 17 Chembong
* Masjid Kariah Astana Raja
* Masjid Kariah Pulau Mampat
* Masjid Kariah Titian Akar
* Masjid Kariah Pedas Tengah
* Masjid Kariah Durian Daun
* Masjid Kariah Semerbok
* Masjid Kariah Pilin
* Masjid Kariah Legung Ulu
* Masjid Kariah Nerasau
* Masjid Kariah Dato Lela Maharaja Sepri
* Masjid Kariah Kundur Hulu
* Masjid Kariah Miku Lama
* Masjid Kariah Sawah Raja
* Masjid Kariah Senama.
Menurut Faudzinaim, Pejabat Agama Islam Daerah Rembau perlu membuat pemakluman mengenai status solat Jumaat anak kariah terbabit kepada masjid-masjid yang terlibat.