Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM3 bilion untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu pada tahun depan.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.3 bilion (43.3 peratus) bagi tujuan pembangunan.
Katanya peruntukan mengurus, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan menjadi komponen terbesar yang mencakupi 38.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Perbelanjaan mengurus ini termasuk pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang masing-masing melibatkan 26 jabatan, elaun majlis pengurusan komuniti kampung, peruntukan bagi elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan buah mahkamah rendah syariah,” katanya Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.
Memperincikan lebih lanjut, Amirudin yang juga Adun Sungai Tua berkata peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi 2025 meningkat RM100 juta atau 8.3 peratus berbanding 2024 dengan tumpuan kepada sektor infrastruktur berbanding sosial.
Peruntukan sektor infrastruktur merangkumi 31.09 peratus daripada peruntukan pembangunan dengan nilai RM404.17 juta.
Antara lain ia bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal lebih efisien, menaik taraf jalan raya dan saliran bagi mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
"Walaupun sektor sosial bukan lagi tumpuan utama, peruntukan bagi tujuan pembangunan sosial berjumlah RM354.08 juta atau 27.24 peratus, kekal sebagai antara agenda pembangunan utama kerajaan negeri.
"Penekanan kepada program kesihatan dan kebajikan warga emas masih diteruskan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat," katanya.
Amirudin turut menzahirkan komitmen pentadbirannya untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat dengan memperuntukkan RM380.7 juta atau 29.29 peratus bagi pembangunan sektor ekonomi.
Peruntukan selebihnya, kata Amirudin, akan menumpukan sektor pendidikan berjumlah RM96.4 juta iaitu 7.42 peratus.
“Sektor kesihatan berjumlah RM40 juta atau 3.08 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan dan baki RM24.5 juta atau 1.88 peratus bagi pembangunan luar bandar,” katanya.
Bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, belanjawan itu akan digerakkan melalui lima teras utama iaitu Kecerdasan Buatan dan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri; Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa serta Membugar Ekonomi, Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda.
- Bernama