Dakwaan bahawa Presiden Parti Bersatu Muhyiddin Yassin lebih berjaya mengawal persaingan dalam parti berbanding Presiden PKR Anwar Ibrahim hanyalah pandangan peribadi ahli partinya sahaja, kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Fahmi juga mendakwa bahawa pemilihan Bersatu telah diatur untuk mengawal persaingan.
“Oh iya ke (Muhyiddin lebih pandai kawal parti dari Anwar Ibrahim), dia dah setting semua macam itu dan semua kena ikut. Okaylah. Itu pandangan dia,” katanya ringkas dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Afif Bahardin bahawa Muhyiddin lebih pandai mengawal saingan dalam partinya berbanding Anwar Ibrahim.
Afif ketika mengulas isu-isu yang berbangkit seputar pemilihan Bersatu yang berlangsung minggu lalu menyifatkan pemilihan Bersatu diselesaikan dengan lancar termasuk dalam mengawal persaingan dalaman adalah hasil kebolehan Muhyiddin.
Afif berkata walaupun wujud dakwaan berlakunya pertembungan antara kem, perkara itu hanyalah spekulasi dan akhirnya keputusan perwakilan menzahirkan pilihan seperti yang disaran pucuk pimpinan tertinggi.
Pemilihan itu menyaksikan Muhyiddin menang tanpa bertanding mengekalkan jawatan presiden, manakala timbalannya Hamzah Zainudin juga menang tanpa persaingan.
Bagi jawatan naib presiden, persaingan enam penjuru dimenangi calon seperti yang disarankan dalam 'pelan kompromi' kepimpinan Bersatu iaitu Ahmad Faizal Azumu, Ronald Kiandee dan Radzi Jidin.
Ahmad Faizal merupakan pendahulu Hamzah sebagai timbalan presiden, bagaimanapun 'diturunkan pangkat’ kepada naib presiden, manakala seorang lagi pemimpin Bersatu iaitu Azmin Ali disebut-sebut akan menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha agung menggantikan Hamzah.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Fahmi berkata PKR belum membuat sebarang keputusan untuk mengubah mekanisme pemilihan partinya daripada satu ahli satu undi kepada sistem delegasi setakat ini.
Fahmi mengakui terdapat perbincangan berhubung perkara itu, namun masih tiada keputusan muktamad dibuat.
"Saya ada meneliti sejumlah laporan dan sebagai Ketua Penerangan Keadilan, saya boleh sahkan waktu ini tidak ada keputusan, yang ada adalah perbincangan.
"Tetapi, pada waktu ini belum ada keputusan. Jadi sukar untuk saya jawab mengenai spekulasi. Yang tak pasti jangan kongsi," katanya ketika diminta mengulas khabar angin bahawa PKR akan mengubah mekanisme pemilihan parti itu kepada sistem delegasi
Difahamkan, cadangan itu disuarakan seorang ahli parlimen PKR pada mesyuarat parti itu bulan lalu.