Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak timbul isu PM balik awal untuk ulas isu dakwaan rasuah

Tiada keperluan untuk perdana menteri memendekkan lawatan rasminya di luar negara semata-mata untuk memberikan reaksi kepada isu semasa dalam negara.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata dalam keadaan sekarang Anwar Ibrahim boleh memberikan komen atau respon di mana-mana saja waima di luar negara.

Dia yang juga menteri komunikasi menjelaskan Anwar dijadual kembali berada di Malaysia pada Rabu akan datang.

"Sudah pasti dalam zaman sekarang, sekiranya beliau perlu menjawab apa-apa isu atau pun memberi komen, ia boleh dibuat di mana-mana saja beliau berada.

“Jadi, saya lihat itu tidak ada isu," katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Terdahulu dia ditanya sama ada perdana menteri perlu meminda susunan lawatannya di luar negara - kini di Amerika Latin - susulan pendedahan demi pendedahan terkait dakwaan rasuah di Sabah.

Pada 9 Nov lalu Malaysiakini memulakan pendedahan tersebut dan dilaporkan ada sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan “rasuah” bernilai ratusan ribu ringgit.

Bukan beri perlindungan terus

Setakat ini beberapa nama ahli politik di Negeri Di Bawah Bayu itu sudah dipetik. Bagaimanapun semua mereka menafikan terlibat dalam kegiatan rasuah.

Selain daripada rakaman video, Malaysiakini turut ditunjukkan dokumen berkaitan projek berkaitan serta maklumat perbankan dalam talian berkaitan dakwaan rasuah yang berlaku.

Rakaman tersebut dipercayai diambil pada awal tahun ini.

Menurut Fahmi, sebelum ini perdana menteri sudah memberikan komen berhubung dakwaan berkenaan.

Dalam kenyataannya itu, kata Fahmi, Anwar menegaskan tiada jaminan perlindungan akan diberikan terhadap pembocor maklumat jika individu itu sendiri terlibat dalam kegiatan rasuah.

Proses berkenaan, kata Fahmi perlulah dibuat mengikut proses sepatutnya dan berlandaskan undang.

"Sebab itu kerajaan mahu supaya pemberi maklumat berkenaan buat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

Anwar memulakan lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin sejak Rabu lalu.

Dia turut mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Nov ini.

Untuk rekod sebelum berlepas ke luar negara Anwar sudah menjelaskan bahawa segala aspek perlu disiasat dalam isu terkait dakwaam rasuah tersebut.

“Ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” kata perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS