Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengecam Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang menyarankan orang ramai untuk tidak memikirkan mengenai skandal rasuah dalam negara dan hanya menumpukan kepada kelangsungan hidup.
"Jika kita tidak bimbang tentang rasuah, makanan di atas meja akan berkurangan, Peja (Faizal)," katanya di Facebook hari ini.
Semalam, Faizal menggesa orang ramai supaya tidak terlalu memberi perhatian terhadap skandal rasuah yang didakwa membabitkan Adun Sabah.
Sebaliknya, dia berkata terdapat lebih banyak isu mendesak yang perlu diberi tumpuan oleh orang ramai, termasuk berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup dan masa depan mereka.
“Kita tak tahu pun siapa yang bercakap, gambar siapa, suara siapa.
"Yang kita ni nak fikir berat, buat teruk pasal itu kenapa? Mari kita fikir macam mana nak bagi anak-anak makan makanan yang berkhasiat, misalnya.
“Atau macam mana kita nak pastikan anak-anak kita dapat belajar dengan lebih baik," katanya.
Zaid berkata kenyataan Faizal membimbangkan dan pemimpin pembangkang sebaliknya harus mengucapkan tahniah pemberi maklumat kerana mengambil risiko untuk mendedahkan rasuah.
“Ya ampun, kenyataan seorang pemimpin pembangkang ini membimbangkan.
“Dia berkata kita harus menyerahkan perkara itu kepada badan yang bertanggungjawab untuk menyiasat.
“Ya, itu idea yang baik jika SPRM menunjukkan minat untuk menyiasat… dan menteri-menteri tidak mengarahkan SPRM siapa yang perlu disiasat dahulu,” tambah bekas ahli parlimen Kota Bharu itu.
Bagaimanapun, Zaid berkata dia faham mengapa Faizal menjawab sedemikian memandangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang kini menerajui pentadbiran Sabah, pernah bersekutu dengan Bersatu.
“Tetapi adalah tindak balas yang salah bagi seorang pemimpin negara untuk mempersendakan nilai pemberi maklumat dalam menangani ahli politik yang korup," katanya.
Semalam, pemberi maklumat berhubung skandal rasuah di Sabah mengeluarkan video baru, di mana seorang Adun boleh dilihat mengadu tentang projek disekat, yang didakwa oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Malaysiakini difahamkan klip itu adalah versi suntingan rakaman perbincangan yang lebih panjang antara pemberi maklumat dan Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari.