Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Purata gaji naik RM56 setahun dalam 30 tahun’ - kajian
Diterbitkan:  Nov 15, 2024 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Satu kajian terbaru mengenai purata kenaikan gaji tahunan dalam tiga dekad lalu menunjukkan masalah serius pendapatan stagnan di Malaysia.

Kajian Ins­titut Penyelidikan Kha­za­nah (KRI) mendapati kenaikan gaji purata hanya RM56 setahun dalam tempoh 30 tahun lalu.

Kajian tersebut juga mendedahkan 60 peratus pemegang ijazah sarjana muda pada 2010 menerima gaji kurang RM2,000 dan 11 tahun kemudian situasinya hampir tidak berubah, dengan 59.6 peratus graduan masih berpendapatan di bawah RM2,000.

Penyelidik Kanan KRI, Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim berkata angka ini menunjukkan masalah gaji rendah di negara ini masih belum diselesaikan.

“Bagi graduan, kos pendi­dikan, terutama di institusi swasta adalah tinggi, dan ini mencetuskan cabaran kewa­ngan apabila mula bekerja.

“Sebagai contoh, seorang graduan dengan gaji permulaan RM2,000 sebulan perlu menampung kos bayaran balik pinjaman sekitar RM350 sebulan.

“Ini boleh menjadi beban yang besar, terutama bagi graduan dari keluarga berpendapatan rendah. Berdasarkan kajian, sekitar 84 peratus peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah dari keluarga yang berpendapatan di bawah RM5,000,” kata Mohd Amirul pada webinar semalam.

Dilaporkan sebelum ini sehingga 31 Disember 2021, sebanyak RM32.29 bilion pinjaman PTPTN belum dibayar oleh 2,716,110 peminjam.

Mohd Amirul Rafiq berkata hutang pinjaman pelajaran kini menjadi komitmen kewangan kedua tertinggi di kalangan belia, selepas pinjaman kenderaan.

“Majoriti golongan muda di bawah umur 30 tahun terbeban dengan pelbagai jenis pinjaman termasuk pendidikan, dengan 28 peratus daripadanya mempunyai pinjaman pendidikan.

“Sebab utama mereka terbeban termasuk kos sara hidup yang meningkat dan gaji rendah,” katanya.

Antara cadangan KRI untuk menangani isu ini termasuk kaedah pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel, seperti Pinjaman Berdasarkan Pendapatan (ICL), dengan peminjam membayar balik pinjaman mengikut tahap pendapatan mereka.

KRI juga mencadangkan peluasan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk menggalakkan keluarga mula menyimpan lebih awal untuk pendidikan anak-anak mereka.

Di samping itu, KRI berkata pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) perlu dipromosikan sebagai alternatif yang lebih berpatutan dan menyediakan kemahiran yang boleh dipasarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS