Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak saman rampas saham Ricky Wong
Diterbitkan:  Nov 15, 2024 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan pelucuthakan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap ahli perniagaan Ricky Wong Shee Kai yang melibatkan hampir enam juta saham syarikat.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh, empat hari lalu, menolak permohonan pendakwaan yang mahu melucuthak 5,792,000 saham dalam Bright Packaging Industry Berhad (BPI).

Sejak 2020, SC telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan Wong bagi membantu siasatan terhadap kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Peguam Baljit Singh Sidhu yang mewakili Wong hari ini, pasukan undang-undang mengumumkan mahkamah menolak tindakan menyita saham ahli perniagaan tersebut dan syarikat Wong SK Holdings Sdn Bhd (WSKH).

Permohonan pelucuthakan ini dibuat di bawah Seksyen 45 Amla untuk merampas saham BPI, dengan pihak pendakwaan menuduh Wong dan WSKH memperoleh saham tersebut hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan BPI.

"Keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak permohonan ini mengesahkan kejujuran Wong dan WSKH.

"Wong dan WSKH terlibat dalam prosiding undang-undang lain berkaitan isu tersebut dan kekal optimis bahawa kes-kes ini juga akan berpihak kepada mereka, dengan keyakinan keadilan akan tercapai dan mereka akan dibebaskan sepenuhnya bagi semua prosiding yang belum selesai," menurut pasukan undang-undang ahli perniagaan itu yang turut dianggotai peguam Abd Shukor Ahmad, Gurpreet Kaur Pannu, Ivanpal Singh Grewal, dan Pang Li Wei.

SC meminta bantuan Interpol selepas Wong, 43, didakwa gagal hadir di hadapan pegawai penyiasat SC pada 27 Disember 2019.

SC juga membuat rayuan kepada orang awam untuk memberikan maklumat tentang keberadaan Wong dan berjanji mereka yang memberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Wong dikenali ketua Asia Media Bhd, sebuah syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE yang menyediakan perkhidmatan penyiaran TV transit digital, termasuk pengiklanan digital pada pengangkutan awam.

Pada 2011, Asia Media Bhd disenaraikan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak, dengan syarikat berkenaan berjanji untuk melabur RM500 juta dalam tempoh sepuluh tahun.

Pada 2013, tiga lelaki didakwa cuba membunuh Wong.

Menurut pemfailan syarikat kepada Bursa Malaysia pada Julai 2019, pemegang saham syarikat mengundi untuk menggugurkan Wong dan empat yang lain sebagai pengarah.

Syarikat itu juga memaklumkan kepada Bursa Malaysia ia berada dalam status PN17 (kesukaran kewangan) selepas kehilangan kontrak penyiaran untuk sistem pengangkutan awam di Lembah Klang dan Johor.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS