Peniaga hasil laut di Pasar Kepong di Kuala Terengganu berkongsi rezeki bersama orang ramai dengan menjual ikan selayang pada harga 20 sen seekor.
Pengurus perniagaan Wan Ahmad Suhaimi Wan Abd Kadir, 43, berkata jualan murah itu bertujuan membantu masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan menjimatkan perbelanjaan dapur.
Beliau berkata ia juga bersempena dengan promosi pembukaan jualan ikan di Pasar Kepong yang sudah lama terbiar tidak beroperasi.
"Hari ini saya menyediakan sebanyak 4,800 kilogram ikan selayang yang dijual pada harga 20 sen seekor. Pelanggan boleh membeli sebanyak mana yang mereka mahu.
"Insya-Allah kita akan kekalkan harga jualan ikan selayang 20 sen seekor ini setiap hari. Jadi, pelanggan tak perlu risau lagi kerana mereka boleh dapatkan sumber protein untuk keluarga pada harga yang sangat murah," katanya ketika ditemui di Pasar Kepong, di Kuala Terengganuhari ini.
Wan Ahmad Suhaimi berkata operasi perniagaannya bermula 6.30 pagi hingga 2 petang setiap hari dengan dibantu kira-kira 20 pekerja.
Bagaimanapun katanya, pada hari pembukaan hari ini, pelanggan sudah mula berbaris sejak 6 pagi tadi untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan ikan segar pada harga murah.
Menurut beliau, selain ikan selayang, pelbagai jenis ikan dan hasil laut turut dijual termasuk ikan merah, ikan tenggiri, ikan kerisi, sotong, telur ikan, udang dan ikan selar yang dijual 10 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
"Setiap Sabtu kita rancang untuk adakan juga promosi harga rendah untuk ikan selar. Contohnya, kalau pelanggan beli ikan dua kilogram ke atas kita akan beri kuantiti yang lebih banyak.
"Bekalan ikan kita ambil dari Endau dekat Mersing, Johor dan Kuantan, Pahang. Tahap kesegarannya dijamin kerana kita ambil stok baharu setiap hari," katanya yang turut menguruskan perniagaan keropok di beberapa cawangan.
- Bernama