Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Mohamed Azmin Ali tidak memfitnah seorang pengimport telur.
Hakim Leong Wai Hong menolak saman fitnah terhadap ketua pembangkang Selangor, yang difailkan oleh J&E Advance Tech Sdn Bhd.
Syarikat tersebut memfailkan saman atas dakwaan pihaknya memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Leong memutuskan kenyataan Azmin hanya merujuk kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan tidak menyebut plaintif yang disenaraikan dalam saman itu, iaitu syarikat tersebut.
Hakim juga berkata Deepak bukan pemegang saham atau pengarah dalam firma berkenaan.
Awal tahun lalu, J&E Advance Tech memfailkan saman berhubung ucapan Azmin ketika berceramah pada 11 Mac tahun lalu.
Azmin menafikan berniat memfitnah firma pengimport telur tersebut, berkata dia hanya menyoal janji pentadbiran Anwar Ibrahim untuk melaksanakan tender terbuka bagi semua perolehan kerajaan.
Azmin pada kenyataan pembelaannya menekankan ucapannya tidak menyebut nama syarikat itu dan hanya merujuk kepada kerajaan serta Deepak secara langsung.
Dalam jawapan balas syarikat yang difailkan pada 11 Ogos tahun lalu, plaintif berhujah bahagian awal dan akhir ucapan Azmin berunsur fitnah.
Firma tersebut mendakwa terdapat tuduhan pihak tertentu terlibat dalam amalan tidak wajar, yang dalam pemikiran pendengar yang rasional akan merujuk kepada syarikat itu secara tidak langsung.
J&E Advance Tech berkata walaupun namanya tidak disebut dalam ucapan Azmin, pengetahuan umum menyebut plaintif satu-satunya pengimport telur dari India, memandangkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memetik namanya di Parlimen pada 8 Mac 2023.
Pada 8 Mac tahun lalu, dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, Mohamad berkata J&E Advance Tech diberi permit mengimport telur dari India untuk jangka masa pendek bagi menangani kekurangan di Malaysia ketika itu.
Menteri itu berkata pemberian kepada syarikat itu tidak melalui tender terbuka kerana kekurangan bekalan memerlukan tindakan segera oleh pihak pentadbiran.
Melalui tindakan sivil ini, firma tersebut menuntut ganti rugi am, pampasan, ganti rugi teruk, dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Syarikat itu juga memohon injunksi untuk menghalang Azmin daripada terus memfitnahnya, serta faedah lima peratus ke atas sebarang jumlah penghakiman yang diberikan, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.