Saksi utama pendakwaan, bekas pengarah syarikat yang dianugerahkan projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion mengalami demam dan sedang cuti sakit (MC).
Akibatnya, perbicaraan kes rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 27 Februari tahun depan.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini bahawa Zarul Ahmad Zulkifli sedang demam.
Zarul bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, syarikat yang dianugerahkan projek kontroversi tersebut.
"Pagi ini kami dimaklumkan saksi pendakwaan ke-23 (Zarul) tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana demam.
“Kami akan menyerahkan MC pada tarikh perbicaraan seterusnya,” kata Mahadi kepada Hakim Azura Alwi.
Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding hari ini ke tahun depan, yang telah ditetapkan sebanyak 27 tarikh perbicaraan antara Februari hingga November.
Zarul menjadi sasaran pembelaan Lim untuk mencabar kewibawaan keterangan saksi tersebut. Mahkamah akan menentukan kesahihan keterangan Zarul pada akhir kes pendakwaan.
‘Tersenyum dapat suapan’
Sebelum ini, Zarul antara lain memberikan keterangan dia terkejut apabila Lim didakwa meminta 10 peratus keuntungan masa depan daripada projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang dan menerima suapan RM100,000 sambil tersenyum.
Lim didakwa atas empat tuduhan rasuah berkaitan pembinaan terowong bawah laut dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau dengan tanah besar di Pulau Pinang.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk mendapatkan RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik syarikat Zarul bagi melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702.
Ahli parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi tuduhan kedua, Lim didakwa meminta 10 peratus keuntungan daripada Zarul sebagai ganjaran kerana membantu syarikatnya memperoleh projek tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di The Gardens Hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi pada Mac 2011.
Lim juga berdepan dua pertuduhan memindahkan dua plot tanah milik kerajaan Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada pemaju projek terowong tersebut, yang didakwa berlaku di Pejabat Tanah dan Galian Negeri di Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.