Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Ahmad Faizal Azumu mengakui cara dia menyampaikan mesej mengenai pengundurannya dari jawatan timbalan presiden parti mungkin menyebabkan berlalu kekeliruan kepada Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, Ahmad Faizal berkata selepas tewas dalam PRU lalu dia memang berasa tidak sesuai lagi untuk berada di posisi nombor dua dalam Bersatu.

Dalam keadaan tiada kerusi yang diwakilinya - sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara - memang wajar dia memberikan laluan kepada pemimpin lain sebagai timbalan Muhyiddin.

“Saya tak tahu sama ada mungkin Tan Sri (Muhyiddin) juga salah faham dengan pendirian saya atau tidak, kerana sejak awal pun berpandangan, sebagai timbalan presiden yang tewas dalam PRU, amat sesuai kalau peranan saya itu diambil oleh tokoh lain.

"Ini pendirian saya sejak selepas PRU ke-15 lalu.

“Tapi mungkinlah cara saya sampaikan itu (menyebabkan kekeliruan), sebab saya pernah sebut pada Tan Sri bahawa kalau beliau nak nak letakkan saya sebagai pemeriksa kira-kira parti sekali pun saya akan setuju.

"Tak payah berfikir dua kali pun saya akan setuju. Saya pernah katakan macam itu,” katanya di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada 1 Nov lalu Muhyiddin berkata Ahmad Faizal sempat "tidak memahami" pelan yang dirangka untuk Bersatu selepas berakhirnya PRU lalu.

Kata Muhyiddin, dia mencadangkan agar Ahmad Faizal memberi laluan kepada Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, sebagai timbalan presiden.

Tak pernah jauh hati

Kata Muhyiddin, pemilihan Hamzah dibuat kerana kedudukan di parlimen serta pengalaman sebagai setiausaha agung parti.

"Bukan kita nak buat apa, Peja (Ahmad Faizal) pun tak faham, dah bincang - dia kata tak apa saya bersedia berundur dan sebagainya.

"Tapi saya kata tidak payah berundurlah, berundur 'setapak' saja, kalau boleh isi satu daripada kekosongan jawatan naib presiden,” kata Muhyiddin.

Untuk rekod dalam pemilihan Bersatu pada 3 Nov lalu, Muhyiddin kekal sebagai presiden manakala tempat Ahmad Faizal digantikan oleh Hamzah secara rasmi selepas kedua-dua mereka tidak dicabar oleh mana-mana calon.

Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak pula memenangi satu daripada tiga jawatan naib presiden. Dua yang lain ialah penyandang - Ronald Kiandee dan Radzi Jidin.

Muhyiddin (kiri) bersama Hamzah

Menurut Ahmad Faizal ada kemugkinan Muhyiddin menganggap dia merajuk apabila dicadangkan memberi laluan kepada Hamzah.

“Sebenarnya saya tak pernah jauh hati. Saya adalah orang kuat Tan Sri presiden saya. Saya orang kuat parti kesayangan saya, Bersatu, dan saya yakin, apa juga peranan yang diberikan, saya akan memainkan peranan itu sebaik mungkin.

“Walau apa pun jawatannya - timbalan presiden, naib presiden, ahli biasa, ketua bahagian, ahli jawatankuasa bahagian atau apa-apa, kita sama-sama mainkan peranan," katanya.

Bekas ahli parlimen Tambun itu juga yakin sesebuah parti tidak akan berjaya jika tidak disokong oleh pelaksanaan tugas oleh pemimpin dan ahli di semua peringkat.

“Jadi saya faham itu, dan saya harap ia dijadikan contoh dan sampaikan mesej kepada ahli parti bahawa kita sanggup berkorban demi perjuangan.

"Kalau kita hanya berpegang pada jawatan kita tapi mesyuarat pun tak pernah buat, isu rakyat tidak difahami, buat apa," katanya.

Macam pasukan bola sepak

Pada masa sama Ahmad Faizal berkata, dia bangga kerana melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin semasa menjadi timbalan presiden walaupun ada pihak yang berpendapat sebaliknya.

Keadaan itu, katanya, sudah memadai. Justeru ketika ini bagi Ahmad Faizal tumpuan utamanya kini ialah memainkan peranan sebagai naib presiden sebaik mungkin.

“Dan kalau esok lusa saya tak ada peranan langsung, jadi ahli biasa pun saya tetap okey.

"Ini yang saya maksudkan - asalkan parti kuat, yang lain-lain tidak penting.

"Pada saya apa yang utama ialah negara ini dipandu dengan lebih baik, dan masalah rakyat diselesaikan.

“Kalau itu semua dah tercapai dan saya meninggal, saya boleh pejam mata dengan tenang sebab kita tak ada rasa kita terhutang kepada masyarakat," katanya.

Ahmad Faizal juga yakin Hamzah boleh memainkan peranannya dengan lebih baik sebagai timbalan presiden.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, tidak benar dakwaan ada pasukan atau puak tertentu memenangi pemilihan Bersatu baru-baru ini.

Sebaliknya kata Ahmad Faizal, sesiapa pun yang menang, mereka adalah kumpulan Bersatu.

“Ini bukan pasukan kompromi. Ini adalah pasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Kami semua di dalam pasukan yang sama.

“Cumanya ia macam main bola sepak - ada yang kena jadi pemain simpanan, ada yang bermain di bahagian serangan, di bahagian midfield, sayap, pertahanan, penjaga gol dan sebagainya.

“Jadi masing-masing ada peranan masing-masing. Jadi ia adalah pasukan Bersatu, bukan pasukan kompromi,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, dakwaan wujud beberapa kumpulan dalam Bersatu juga hanyalah apa yang digambarkan seteru politiknya saja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS