Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Sabah dituduh rasuah: Apa setakat ini?
Diterbitkan:  Nov 15, 2024 8:58 AM
Dikemaskini: Nov 17, 2024 10:42 AM
  • KEMASKINI 17 NOV: Tambahan berkenaan dakwaan baru melibatkan Hajiji Noor dan Rubin Balang, serta kenyataan terbaru oleh SPRM.

Tuduhan rasuah melibatkan Adun Sabah muncul selepas seorang pendedah maklumat membocorkan beberapa video menunjukkan wakil rakyat didakwa membincangkan wang yang diterima bagi menyokong bidaan syarikat tertentu untuk projek negeri.

Pendedah maklumat tersebut, yang mengakui dirinya sebagai pemberi rasuah berkata dia sedia berkongsi semua bukti yang dimilikinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi meminta pihak berkuasa memberikan dirinya perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA).

Maklum balas pihak berkuasa

Pun begitu, Putrajaya dan SPRM dilihat keberatan untuk menjanjikan kekebalan kepada pendedah maklumat tersebut sebelum dia tampil ke hadapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menegaskan undang-undang menyatakan pendedah maklumat dilindungi apabila memberikan maklumat kepada pihak berkuasa. Namun, kata Azam perlindungan tersebut boleh dibatalkan jika individu itu didapati terlibat dalam kesalahan tersebut.

Pendedah maklumat kemudiannya menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon agar dia diberikan perlindungan, tetapi permintaan itu ditolak pemimpin negara yang menggesa pihak berkuasa turut menyiasat pemberi rasuah tersebut.

KEMAS KINI: Pada 17 November, SPRM berkata pihaknya telah menerima aduan berkenaan pendedah maklumat, dan siasatan setakat ini telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Adun yang disyaki terlibat.

SPRM juga setakat ni telah merakam keterangan lima Adun.

Malaysiakini difahamkan antara lima Adun tersebut adalah Shahelmey Yahya, Rubin Balang dan Arsad Bistari.

Warkah kepada Agong dan ancaman bunuh

Selepas itu, pendedah maklumat tersebut menulis surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memohon baginda untuk menyemak bukti yang dimilikinya dan memutuskan jika dia harus diberikan perlindungan.

Ketika dia terus berusaha mendapatkan perlindungan undang-undang, pendedah maklumat menerima ancaman bunuh, yang mendorongnya membuat laporan polis.

Klip video dan audio

Sementara itu, pendedah maklumat telah menyerahkan beberapa klip audio dan video kepada Malaysiakini yang mengaitkan beberapa Adun Sabah, termasuk yang berada dalam pentadbiran negeri.

Antaranya rakaman perbincangan seorang Adun negeri dengan seorang usahawan mengenai syarat-syarat pemulangan “RM500,000” yang diterimanya sebagai ganjaran untuk menyokong projek tersebut di negeri ini.

Adun Sindumin Yusof Yacob (gambar atas) dituduh sebagai ahli politik dalam klip audio tersebut, tetapi dia menafikan perkara itu, berkata ia mungkin dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Respon Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pula menggesa siasatan dan berjanji akan bekerjasama secara telus dengan SPRM sambil menuduh pendedah maklumat mempunyai niat jahat.

Pada hari sama, satu lagi klip video muncul, turut diberikan oleh pendedah maklumat sama, menampilkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon mendakwa Hajiji telah menyalahgunakan kuasanya.

KEMAS KINI: Pada 17 November, Jontih mendakwa dia memiliki bukti bagi menyokong dakwaannya ke atas Hajiji.

Tuduhan-tuduhan lain

Pada 13 Nov, Malaysiakini menerbitkan satu lagi klip video, kali ini menunjukkan perbualan antara pendedah maklumat dengan Adun Kemabong, Rubin Balang, dengan perbincangan melibatkan niat pendedah maklumat untuk menggunakan syarikat milik anak-anak Rubin bagi projek perlombongan setelah lesennya yang terdahulu dibatalkan.

Dalam pendedahan terbaru pada hari Khamis, pemberi maklumat mendakwa membocorkan satu lagi klip video, menunjukkan perbincangannya bersama Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari.

KEMAS KINI: Pada 16 November, pendedah maklumat menuduh Rubin menerima lesen carigali mineral arang batu pada 2023 sebagai balasan atas sokongannya terhadap Hajiji.

Rubin enggan memberi komen berhubung dakwaan itu, dengan membangkitkan siasatan yang sedang dijalankan SPRM.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS