Polis Thailand tidak menolak kemungkinan ada individu yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand memiliki dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan.
Ketua Polis Daerah Narathiwat Kol Polis Pratya Baitee mendedahkan ini adalah modus operandi mereka bagi melarikan diri sama ada ke Malaysia atau Thailand jika diburu pihak berkuasa tempatan.
Katanya, hasil siasatan mendapati kebanyakan penjenayah ini menpunyai maklumat berbeza pada kad pengenalan yang berlainan.
Mengambil contoh, katanya terdapat kes maklumat pada kad pengenalan penjenayah yang ditangkap polis Thailand menunjukkan mereka menetap di Malaysia, tetapi muka adalah sama seperti dalam senarai dikehendaki yang diburu di Thailand.
"Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dan polis Thailand terpaksa meminta bantuan rakan sejawat dari Malaysia untuk pengesahan,” katanya kepada pemberita dalam sesi lawatan khas pertemuan media Kelantan bersama polis Narathiwat di negara itu, baru-baru ini.
Pratya berkata siasatan juga mendapati penjenayah dua kerakyatan ini kebanyakan adalah mereka yang mempunyai saudara-mara di sempadan kedua-dua negara.
"Pengecaman biasanya adalah dengan membuat perbandingan di antara dua kad pengenalan yang ditemui pada suspek sekiranya mereka ditahan.
"Sekiranya ada tangkapan oleh polis Malaysia dan didapati mereka ini adalah dalam senarai individu dikehendaki di Thailand, mereka akan diserahkan kepada polis Thailand untuk siasatan lanjut dan tindakan itu adalah kerjasama antara rakan sejawat kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata wajah-wajah suspek yang dikehendaki polis Thailand akan dipamerkan di pintu masuk sempadan dan pada papan iklan di tepi-tepi jalan di Thailand bagi memudahkan maklumat disalurkan.
- Bernama