Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sejak memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sudah menyelia sejumlah pelancaran siri nombor plat khas seperti GOLD, FF, M_M, dan MADANI melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPN).

Justeru, kata Loke sambil ketawa, tidak hairanlah ada pihak - termasuk laskar siber - menggelar dirinya sebagai "Menteri Nombor Plat".

Pun begitu dia tidak terganggu dengan label sebegitu, bahkan gembira apabila bidaan nombor plat khas yang ditawarkan JPJ itu turut membantu menambah pendapatan kerajaan.

"Sesetengah orang memanggil saya 'Menteri Nombor Plat'... Troll dan cybertrooper (laskar siber) mendakwa Anthony Loke tidak melakukan apa-apa kecuali jual nombor plat setiap hari.

"Saya mempunyai EQ (darjah kecerdasan emosi) yang tinggi dan tidak mempedulikan kritikan sebegitu. Orang boleh cakap apa sahaja, tetapi saya tahu apa yang saya buat.

"Ya, saya jual banyak nombor plat, tetapi wang itu bukannya masuk poket saya sendiri - ia meningkatkan hasil kerajaan," katanya.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban berkata demikian semasa sesi audio siar bahasa Cina Malaysiakini minggu lalu dan disiarkan di YouTube, Spotify, dan Apple Podcasts hari ini.

Kata Loke, hasil tambahan yang dijana daripada lelongan plat khas itu dimasukkan ke Tabung Wang Disatukan dan ia membolehkan Kementerian Pengangkutan menyokong inisiatif serta projek yang tidak termasuk dalam belanjawan.

Sebagai contoh, katanya, semasa musim perayaan kerajaan menetapkan had maksimum harga tiket penerbangan dan memberi subsidi untuk penumpang jika harga itu melebihi had.

"Dari mana datangnya wang subsidi? Kementerian tak ada peruntukan khas untuk inisiatif ini.

"Jadi kami menghasilkan kaedah ini iaitu menggunakan keuntungan daripada jualan nombor plat khas untuk menyokong inisiatif seperti subsidi untuk pelajar Malaysia Timur," katanya.

Tetap kena beli

Loke juga menegaskan bahawa hasil daripada jualan nombor plat adalah penting untuk melaksanakan sesuatu dasar yang membawa faedah kepada awam.

Mac lalu Loke menyatakan bahawa jumlah pendapatan daripada jualan nombor plat pada tahun lalu adalah berjumlah RM311.8 juta, dengan RM21 juta daripadanya melalui nombor khas.

Pada Oktober pula kerajaan memperkenalkan siri nombor plat MADANI dengan MADANI 8481 mencatat harga setinggi RM26,666.

Nombor itu dianggap sebagai ejekan kepada keranaan kerana kerana kombinasi 8481 boleh ditafsir sebagai menyerupai BABI.

Loke mengakui jarang nombor plat kereta sebegitu dijual pada harga tinggi tetapi pada masa sama menegaskan ia bukan sesuatu yang perlu difikirkan.

"Setiap siri plat mempunyai nombor ini (8481), jadi mengapa perlu terasa hati? Jika orang mahu mentafsirnya dengan cara tertentu, terpulanglah kepada mereka.

"Jika anda mengatakan ramai orang membida nombor itu (8481) hanya untuk mempersendakan kerajaan, anda masih tetap perlu membuat bayaran untuk mendapatkannya.

"Jika anda mahu membelanjakan RM10,000 untuk mendapatkan nombor plat itu, silakan. Anda tetap perlu mengeluarkan wang anda untuk itu," katanya.

Sementara itu menceritakan pengalamannya mengendalikan pelbagai siri nombor plat khas, Loke berpendapat, plat kenderaan dengan abjad yang lebih pendek biasanya lebih popular.

Berdasarkan laporan sebelum ini, siri plat MADANI mengumpul jualan bernilai kira-kira RM2.62 juta berbanding siri FF (kira-kira RM34.29 juta), GOLD (RM17.24 juta) dan M_M (RM21 juta).

Loke juga memberitahu jumlah jualan plat Madani itu belum mengambil kira tempahan MADANI 1 milik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Awal tahun ini baginda memenangi bidaan untuk plat nombor GOLD 1 dan FFF 1 dengan masing-masing berharga RM1.5 juta dan RM1.75 juta.

Sultan Ibrahim juga menyuarakan harapan baginda agar hasil itu digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS