Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan motif pemberi maklumat mendedahkan video yang mendakwa anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) melakukan rasuah kepada media dan bukannya SPRM.
Ketua penerangannya Joniston Bangkuai dilaporkan memberitahu media hari ini bahawa dia percaya rakaman video yang dikatakan itu hanya bertujuan untuk menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
“Ia menimbulkan persoalan. Jika anda percaya ada salah laku, mengapa pergi ke media? Kenapa tak pergi terus ke SPRM?
“Pengerusi GRS dan ketua menteri (Hajiji Noor) telah berkata pihak berkuasa perlu menyiasat dan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh,” katanya, seperti dipetik oleh New Straits Times.
Joniston, yang merupakan pembantu menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah, menambah bahawa kerajaan negeri tidak seharusnya terganggu dengan dakwaan itu.
Dia juga menolak tanggapan bahawa GRS akan mengadakan pilihan raya negeri awal kerana skandal itu.
“Kami masih ada sehingga Oktober tahun depan. Mengapa kita perlu bersedia untuk perkara-perkara seperti itu?” soalnya.
Menurut The Vibes, Joniston juga memberitahu media bahawa GRS menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa akan menanganinya. Kami memberi tumpuan untuk menyampaikan perubahan untuk rakyat," katanya.