WAWANCARA | Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, menyarankan orang ramai agar tidak membebankan diri sendiri dengan isu dakwaan skandal rasuah melibatkan Adun di sebuah negeri.
Sebaliknya, kata Ahmad Faizal, adalah lebih baik jika semua pihak memberi keutamaan terhadap isu yang lebih penting iaitu kelangsungan hidup.
“Kita tak tahu pun siapa yang bercakap, gambar siapa, suara siapa.
"Yang kita ni nak fikir berat, buat teruk pasal itu kenapa? Mari kita fikir macam mana nak bagi anak-anak makan makanan yang berkhasiat, misalnya.
“Atau macam mana kita nak pastikan anak-anak kita dapat belajar dengan lebih baik," katanya dalam temu bual dengan Malaysiakini pada Selasa.
Tambah bekas Menteri Besar Perak itu lagi, sebenarnya tidak ramai yang benar-benar tahu apa yang berlaku melibatkan isu dakwaan rasuah tersebut namun mendakwa mempunyai maklumat mengenainya.
Malah, kata Ahmad Faizal lagi, sesetengah mereka bercakap berdasarkan khabar angin yang didengarnya daripada orang lain.
Perlu dibersihkan jika tak benar
Justeru, katanya, tidak berfaedah untuk sesiapa membazirkan tenaga dan masa pada sesuatu yang tidak pasti.
Apa yang perlu dilakukan sekarang, katanya, ialah membiarkan pihak berkuasa yang berkenaan - seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - menangani isu tersebut.
Orang ramai pula, katanya, cukup sekadar memantau perkembangan yang berlaku.
Bagi Ahmad Faizal sendiri, dia tidak dapat memberikan komen lebih lanjut.
"Saya pun tak tahu hujung pangkal suara siapa. Adun di Malaysia ini ada beribu orang, manalah kita nak tahu siapa, dan saya minta tak payahlah nak sembang benda itu.
"Kita minta ia disiasat dan kalau benar berlaku rasuah, tindakan mesti diambil.
“Tapi kalaulah benda itu tak benar, fitnah dan seumpamanya, nama-nama mereka yang telah terpalit perlu dibersihkan,” katanya.
Sabtu lalu, Malaysiakini mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sebagai balasan untuk mendapatkan projek.
Pembocor maklumat itu cuba dilaporkan cuba mendapatkan perlindungan melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk membongkar lebih lanjut perkara itu.
Setakat ini sudah ada laporan dibuat oleh pihak yang berkaitan kepada SPRM.
Menurut Ahmad Faizal lagi, dia juga yakin setiap agensi penguat kuasa mempunyai prosedur operasi standard (SOP) masing-masing untuk menguruskan sesuatu dakwaan.
“Saya percaya mereka sedang menjalankan tanggungjawab, sebab sekarang ini mereka memang aktif.
"Keluar saja cerita (dakwaan rasuah) dia pun panggil orang; keluar saja cerita, panggil orang.
"Duit masuk dalam akaun parti pun, presiden (parti) yang kena dan sebagainya. Jadi mainlah peranan,” katanya.
Perlembagaan peraturan tertinggi
Sementara itu, mengulas pemilihan syarikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai pengendali kedua rangkaian telekomunikasi 5G di negara ini, Ahmad Faizal berkata dia tiada masalahnya dengan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, bekas menteri belia dan sukan itu menegaskan apa saja urusan perniagaan yang melibatkan kerajaan perlu mengikut peraturan dan undang-undang dalam negara.
“Apa juga perkara yang kita nak buat, sama ada nak nak dapat kontrak kerajaan, menang tender kerajaan, waima nak jual nasi lemak di tepi jalan, (jual) goreng pisang atau burger, buatlah mengikut undang-undang.
“Kalau perlu ambil lesen penjaja, dapatkanlah lesen penjaja dulu. Kalau perlu suntik vaksin atau apa saja, ikut kehendak pihak berkuasa tempatan, ikutlah.
"Kalau nak berniaga, nak tubuhkan syarikat, tubuhlah syarikat melalui pendaftar syarikat, dan sebagainya,” kata Ahmad Faizal lagi.
Pada masa sama dia menegaskan sesiapa saja boleh berniaga di negara ini namun terikat dengan undang-undang, dan peraturan tertinggi, katanya, ialah Perlembagaan Persekutuan.
Dia yang sebelum ini bertanding sebagai calon PN di Tambun semasa PRU ke-15 mengingatkan, dalam perlembagaan ada dinyatakan siapa yang dibenarkan untuk berbuat sesuatu dan siapa pula yang dilarang.
Misalnya, kata Ahmad Faizal, perlembagaan menyatakan ada rakyat negara ini yang dibenarkan mengundi, dan ada yang dilarang - atas faktor tertentu seperti usia dan sebagainya.
"Perlembagaan negara juga ada menyebutkan ada orang boleh berniaga, dan ada orang yang tak boleh berniaga.
“Maka kita ikut perlembagaanlah. Kalau kita insya-Allah negara akan berjalan dengan baik,” tambahnya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan syarikat U Mobile dipilih sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara atas beberapa faktor termasuk rancangan perniagaan dan aspek teknikal, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana bidaan yang dibuat U Mobile adalah lebih baik berbanding syarikat telekomunikasi lain.
Ia menjadi perhatian apabila nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, turut dikaitkan kerana baginda adalah pemilik saham kedua terbesar dalam U Mobile, dengan 22.3 peratus pegangan.
Pemegang saham terbesar U Mobile ialah Straits Mobile Investments Pte Ltd (Straits Mobile) - subsidiari kepada ST Telemedia milik syarikat pelaburan Singapura, Temasek - dengan 48.3 peratus pegangan.
Untuk rekod pada 10 Nov lalu Straits Mobile mengumumkan rancangan mereka untuk mengurangkan pegangan saham dalam U Mobile kepada 20 peratus.
Tidak jelas siapa yang akan memiliki 29 peratus pegangan yang akan dilepaskan itu, namun - kecuali ia akan menjadi milik satu entiti tunggal - Sultan Ibrahim boleh menjadi pemegang saham terbesar selepas ini.
Selain penglibatan Agong, keputusan MCMC berkenaan pemilihan U Mobile turut membangkitkan persoalan mengapa syarikat telekomunikasi lain yang lebih berpengalaman diketepikan.