Paling Popular
Terkini

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor menegur ahli parlimen susulan kekecohan membabitkan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin dan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim.

“Duduk YB. Tolong. Cukup. Masa dewan ini adalah terhad ya, kita nak selesaikan bab jawatan kuasa ini, baik, Allahuakbar, jaga budak-budak sekolah lagi senang,” katanya.

Perang mulut bermula selepas Rayer membangkitkan perintah mesyuarat, ingin mengetahui keputusan Dewan Rakyat berhubung tuduhan Awang bahawa RM94 juta ditemui di rumah bekas menteri awal bulan ini.

Dia berkata perkara itu perlu ditangani segera kerana isu itu telah dibangkitkan di luar Dewan Rakyat dan memberi amaran ia boleh menjadi contoh kepada ahli parlimen untuk mengadakan sesi "free for all" di dewan.

"Jadi saya ingin tanya kepada tuan pengerusi yang saya hormati, apakah yang bakal dilakukan ke atas YB Pendang yang ada di dewan mulia ini tak segan silu hanya mendiamkan diri selepas melemparkan satu tuduhan yang serius,” soalnya.

Ramli kemudian mengadakan perbincangan ringkas dengan setiausaha Dewan Rakyat sebelum mengumumkan keputusan akan dibuat tidak lama lagi.

"Itu sahaja yang boleh saya katakan," katanya.

Awang kemudian bangun dan memanggil Rayer "bodoh" kerana tidak dilantik ke mana-mana jawatan kerajaan.

“YB Speaker, Jelutong ini saya ingat meroyanlah. Pasal apa? Kita dah selesai, saya dah patuh kepada arahan speaker, dia ingat dia nak jadi speaker kot tu, tapi dia tak layak, bodoh,” kata Awang.

Chong kemudian berdiri untuk mempertahankan Rayer dan meminta Awang menarik balik perkataan itu.

"Cukuplah Pendang, tarik balik perkataan bodoh. Baru sahaja buat satu sangkaan terhadap dewan, mengelirukan dewan sekarang," katanya.

Mereka kemudian terus bertekak walaupun selepas Ramli membisukan mikrofon mereka.

Ramli kemudian mengingatkan ahli dewan untuk melihat kanak-kanak yang duduk di bahagian penonton dan bermuhasabah diri.

"Sila lihat di belakang tu, anak-anak kita, baik kita aturkan balik semula perjalanan dewan," katanya.

Rayer bangun semula dan mengulangi bahawa dia menghormati keputusan Ramli dan menegaskan Awang tidak menghormati Dewan Rakyat dengan mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan.

Ramli kemudian menasihati Awang supaya menarik balik perkataan itu, yang dipatuhi oleh ahli parlimen PAS itu.

Pada 6 Nov, Speaker Dewan Rakyat Johari meminta Ahli Parlimen Pendang memberikan bukti berhubung dakwaannya bahawa RM94 juta ditemui di premis bekas menteri atau membuat permohonan maaf.

Dia mengeluarkan arahan ini selepas Rayer membentangkan usul untuk merujuk Awang kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS