Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak mungkin saya perlu disiasat, kata Adun Kemabong
Diterbitkan:  Nov 14, 2024 4:43 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Rubin Balang, berpendapat dia tidak perlu disiasat hanya kerana dirakam berbincang mengenai lesen projek di negeri itu dan dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, kata Rubin, jika pihak penguat kuasa berpendapat sebaliknya, dia sedia memberikan sepenuh kerjasama bagi membantu mereka.

"Saya tidak fikir ada elemen rasuah dalam perjumpaan itu.

"Tidak mungkin saya perlu disiasat, tapi kalau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) panggil, saya akan beri kerjasama penuh," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Nama Rubin - yang juga Adun Kemabong - terkait dengan pendedahan ramakan video didakwa perbincangan mengenai rasuah seperti didedahkan Malaysiakini semalam.

Menurut pembocor maklumat, dia tidak menawarkan rasuah kepada Rubin sebaliknya hanya berunding untuk mengambil alih syarikat anak-anak Adun Kemabong itu bagi tujuan pelombongan.

Dalam perbualan itu, Rubin mendedahkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, memberikannya “satu” walaupun dia meminta “dua” dan bersyukur dengan perkara itu.


Baca ‘Minta 2 dapat 1’ - lagi pendedahan video pemberi maklumat


Kelmarin, Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden GRS, Hajiji Nor, menjanjikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika mereka menjalankan siasatan ke atas dakwaan tersebut.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan, pihak yang menawarkan rasuah juga perlu diambil tindakan.

“Kami minta pihak berkuasa untuk menyiasat. Kami akan beri kerjasama, tapi siasat juga (pihak) yang memberi rasuah.

"Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio).

"Jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda GRS Kemabong, Rexy Yankat, berkata pihaknya turut yakin tiada unsur rasuah melibatkan Rubin dalam rakaman video yang didedahkan itu.

Sebaliknya, kata Rexy, ia hanya menunjukkan perbincangan terkait isu perniagaan dan ia belum dimuktamadkan.

Dalam perbincangan itu, kata Rexy, seseorang menggunakan "tipu daya" dengan membawa individu tertentu yang didakwa sebagai pelabur bagi berbincang.

"Nasib baik wakil rakyat tersebut (Rubin) segera menyedari bahawa pertemuan itu hanyalah satu pembaziran masa dan berpotensi membawa agenda tidak baik," katanya yang turut dipetik Sinar Online hari ini.

Rexy juga berterima kasih kepada Hajiji kerana bijak menamatkan kontrak berkenaan kerana dipercayai ia lebih cenderung untuk mengaut keuntungan daripada hasil bumi Sabah berbanding menyumbang kepada kestabilan ekonomi negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS