Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid kenang jasa Daim selamatkan Tabung Haji
Diterbitkan:  Nov 14, 2024 4:13 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Sehari selepas jenazah Daim Zainuddin dikebumikan, Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof terkenang salah satu jasa disumbangkan oleh bekas menteri berpengaruh itu.

Membuat catatan di media sosial, Mujahid berkata, antara jasa besar Daim ialah menggerakkan proses pemulihan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak lama selepas PRU ke-14.

Mujahid - yang menjadi menteri agama dalam kerajaan PH ketika itu - berkata selepas PH memenangi pilihan raya pada 9 Mei 2018, Daim dilantik oleh perdana menteri mengetuai sebuah majlis penasihat tiga hari kemudian.

Salah satu misi besar majlis itu, kata Mujahid, ialah memulihkan Tabung Haji yang ketika itu mengalami defisit RM4 bilion dan 'membengkak' menjadi RM10 bilion pada penghujung 2018.

"Antara dapatan awal majlis penasihat itu ialah wujud kelakuan salah tadbir dan pembelian dana penjualan saham yang meragukan sehingga Tabung Haji mengalami kerugian.

"Ini termasuk isu tata kelola yang culas dan tidak menepati piawaian perakaunan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Mujahid berkata, majlis penasihat itu melantik pengerusi dan ketua pegawai eksekutif yang baru bagi mengelolakan Tabung Haji.

Mujahid sendiri, katanya, diamanahkan untuk memulihkan lembaga tersebut agar kembali berada pada landasan yang betul.

"Jasa Tun Daim sebagai Pengerusi Malis Penasihat Kerajaan terkhusus melihat usaha memulihkan Tabung Haji akan dikenang selamanya.

"Bermula dari situlah kerangka penstrukturan semula Tabung Haji digerakkan antara 2018 hingga 2020.

"Alhamdulillah sehingga kini Tabung Haji berada pada landasannya yang tepat untuk memacu cabaran mendatang," katanya.

Daim, 86, meninggal dunia di sebuah hospital swasta pagi semalam. Dia merupakan tokoh perniagaan yang berpengaruh sebelum dibawa menyertai kabinet oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1984 sehingga 1991.

Semasa PH menjadi kerajaan selepas PRU 2018, Mahathir sekali lagi memberi kepercayaan kepada anak Kedah itu untuk mengetuai majlis penasihat kerajaan.

Menjelang PRU berkenaan, Daim bergandingan dengan Mahathir dan seorang lagi veteran Umno, Rafidah Aziz, berkempen bersama PH sehingga menyaksikan BN dikalahkan buat kali pertama dalam pilihan raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS