Bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon, yang tampil menyerang kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, tidak dapat menahan kesedihan apabila bercakap berkaitan kemiskinan rakyat negeri itu.
Beberapa kali matanya bergenang dan air matanya tumpah ketika menyentuh perkara itu dalam wawancara dengan Malaysiakini di ibu pejabat portal ini di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dia antaranya terbuai perasaan itu ketika mengimbau pengalaman menemu bual calon pekerja untuk tiga jawatan rendah di Jabatan Mineral dan Geosains Sabah pada 2005.
"Ada seorang menangis masa temu bual. Dia cerita gaji dia RM800 masa itu. Kerja di kilang papan. Dia orang Ranau, kerja di Kota Kinabalu, sewa bilik RM300.
“Saya faham kenapa di mahu sangat kerja sehingga menangis dalam temu bual," kata Enggihon, yang ketika itu berkhidmat dengan jabatan itu, sambil menangis.
Katanya, kira-kira 5,000 orang memohon untuk jawatan itu sedangkan cuma terdapat tiga kekosongan.
Enggihon berkata Negeri di Bawah Bayu patut melakukan lebih baik untuk membendung kadar kadar pengangguran yang tinggi.
"Ada lebih kurang 350,000 rakyat Sabah bekerja di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur kerana tiada peluang di Sabah.
“Itu menunjukkan ekonomi Sabah ini terlalu mundur,” katanya.
Kelmarin, seorang pemberi maklumat mengeluarkan video dakwaan dan ketidakpuasan hati Enggihon terhadap Hajiji.
Ia adalah tambahan kepada lapan video dakwaan perbualan rasuah melibatkan lapan ahli politik.
Dalam video itu, Enggihon yang baru tamat kontrak dengan SMM kira-kira tiga bulan lalu, mendakwa keputusan-keputusan berkaitan syarikat kerajaan negeri yang dipengerusikan Hajiji, sangat dipengaruhi politik.
Susulan pendedahan video tersebut, Enggihon pula diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah guna kuasa.
Wawancara Enggihon bersama Malaysiakini dirakam lebih awal sebelum aduan SPRM itu.
Terdahulu Hajiji berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan dalam rakaman video itu, namun mahu "pemberi rasuah" ditangkap terlebih dulu.
Katanya, rakaman itu dikeluarkan apabila pemberi rasuah tidak berjaya mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.
Miskin walaupun kaya sumber alam
Sementara itu, Enggihon berkata dia sebelum ini menerima jawatan CEO SMM dengan niat jujur menaikkan pendapatan negeri melalui industri perlombongan.
"Sabah merupakan negeri yang miskin. Walaupun, saya berani kata Sabah negeri paling kaya dari segi sumber alam berbanding negeri-negeri lain.
“Kita ada kepelbagaian sumber alam, emas, perak, batu arang, nikel, bauksit, tembaga banyak lagi.
"Jadi, niat saya jujur untuk bantu negeri. Semangat saya berkobar-kobar," katanya.
Untuk tujuan itu, katanya, dia mengambil inisiatif memperkenalkan pelan tindakan perlombongan Sabah.
"Semasa pelancaran pelan tindakan itu, slogan kami adalah Sabah Maju Jaya bersama perlombongan.
"Ini yang saya kata, Sabah negeri yang kaya, cuma tiada usaha," katanya.
Katanya, di sebalik semua kekayaan itu, Sabah tetap mundur kerana “tiada usaha daripada kerajaan negeri”.