PARLIMEN l Khazanah Nasional Bhd akan terus melabur dalam syarikat pemula lain di sebalik kerugian lebih RM40 juta yang disalurkan kepada syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata mandat terbabit masih dikekalkan dan pada masa sama mekanisme kawalan bagi pelaburan membabitkan syarikat pemula diperkukuhkan.
Malah, katanya, aspek itu juga membantu mencipta peluang pekerjaan, merangsang ekonomi dan memperkenalkan teknologi maju daripada pasaran luar ke Malaysia.
"Isu FV tidak akan jejaskan Khazanah untuk melabur dalam syarikat pemula. Visi itu masih kekal dalam mandat Khazanah.
"Khazanah akan terus berusaha untuk menyokong syarikat pemula dan modal teroka sambil meningkatkan mekanisme kawalan (bagi menangani risiko kerugian dalam pelaburan)," kata Amir Hamzah semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedar terdapat elemen ketidakjaminan dalam pelaburan membabitkan modal teroka.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) sama ada kes kerugian dalam FV akan menjejaskan pelaburan Khazanah bagi pelaburan dalam syarikat pemula dan modal teroka.
Amir Hamzah berkata matlamat pelaburan dalam modal teroka adalah untuk pertumbuhan walaupun risikonya tinggi dan sekiranya berjaya berpotensi menjana keuntungan yang tinggi.
“Menyedari risiko dan ganjaran pelaburan dalam modal teroka dan ekuiti persendirian, kedua-dua pihak iaitu Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd mendapati pelaburan ini harus diurus dengan menilai prestasi berdasarkan portfolio pelaburan secara keseluruhan dan bukan pelaburan sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, tindakan sudah diambil susulan kerugian dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam komitmennya terhadap FashionValet.
“Pelaburan Khazanah dalam FashionValet sudah dibuat tujuh tahun lalu. Sejak itu, pendekatan Khazanah dalam membuat keputusan pelaburan sudah dirombak.
“Proses pemilihan pelaburan juga diperketatkan termasuk pelaburan dalam syarikat pelaburan dan modal teroka,” katanya.
Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing sebanyak RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.
Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 28 Okt, memaklumkan kedua-dua syarikat itu menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam FashionValet.