PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri memaklumkan Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuh mahupun dipinda buat masa ini.

Menjawab soalan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah menegaskan akta itu diperlukan bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Susulan kajian, kementerian telah membentangkan memorandum jemaah menteri bagi penetapan dasar berkaitan. 

“Jemaah menteri secara dasar bersetuju agar Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memelihara keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalam, termasuklah melindungi institusi raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta keharmonian antara negara.

“Berhubung status terkini, Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan buat masa ini bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.


Yii bertanya jika kerajaan sedang menimbang untuk sama ada memansuhkan Akta Hasutan atau memindanya agar ia digunakan hanya untuk perkara membabitkan institusi diraja dan tidak disalah guna ke atas perkara lain.

Dalam soalan tambahannya, Yii yang juga ketua Pemuda DAP menegaskan ada undang-undang lain yang boleh digunakan untuk melindungi kepentingan negara.

Shamsul menegaskan rakyat masih boleh menyuarakan kritikan terhadap dasar kerajaan, namun menasihatkan mereka agar tidak membincangkan isu-isu sensitif secara terbuka.

“Pendekatan lebih baik oleh rakyat adalah tidak membicarakan isu sensitif secara terbuka.

“Sebenarnya, tindakan yang diambil oleh polis kebanyakannya sengaja dibesar-besarkan. Polis mengambil tindakan untuk mengekang (isu-isu sensitif) daripada berleluasa sampai ke tahap mengundang (ancaman kepada) keselamatan negara,” katanya.

PH sekian lama berjanji untuk menilai semula dan memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan, namun belum ada usaha ke arah itu sejak ia menjadi kerajaan.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan setuju secara prinsip untuk menyemak Akta Hasutan bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi raja-raja daripada provokasi.

Kali terakhir akta itu dipinda adalah pada 2015 bagi menjadikan kritikan terhadap kerajaan sebagai bukan satu kesalahan. Namun sehingga kini, hampir sedekad kemudian, pindaan itu masih tidak berkuat kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS