Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tinjauan: Rakyat Malaysia mahu Islam, kepelbagaian budaya saling dihormati
Diterbitkan:  Nov 14, 2024 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Walaupun hubungan etnik Malaysia dikatakan semakin  merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun satu tinjauan baru-baru ini mendedahkan bahawa majoriti penduduk menyokong agar agama Islam dan kepelbagaian budaya mesti dihormati wujud bersama.

Menurut tinjauan oleh Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), satu konsensus merentas etnik yang ketara muncul: 75 peratus responden Melayu dan Cina serta 81 peratus responden India bersetuju bahawa "menghormati Islam dan menghormati kepelbagaian budaya mesti seiring."

Hanya 22 peratus responden Melayu merasakan bahawa "menghormati Islam mesti diutamakan daripada menghormati kepelbagaian budaya," manakala 21 peratus responden Cina dan 16 peratus India memilih sebaliknya.

Sampel berwajaran berdasarkan komposisi etnik Semenanjung Malaysia itu mendedahkan bahawa 76 peratus mahu kedua-dua hormat kepada Islam dan kepelbagaian budaya wujud bersama, 16 peratus memilih Islam diutamakan, dan 8 peratus lagi berpendapat  kepelbagaian budaya perlu diutamakan.

Prihatin dengan kemerosotan hubungan etnik dan konflik budaya yang berterusan boleh menjejaskan kestabilan politik, akauntabiliti dan menjejaskan pembaharuan institusi, Projek SAMA mentauliahkan Invoke untuk menjalankan tinjauan suku pertama mengenai hubungan etnik di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan itu dijalankan dari 1 hingga 28 Oktober 2024, menggunakan Random Digit Dialling (RDD) dan Interactive Voice Response (IVR) Robocalls yang mengumpulkan respons lengkap daripada 611 orang dewasa berumur 18 tahun ke atas: 306 Melayu, 200 Cina dan 105 India.

Daripada sepuluh soalan yang ditanya, data yang sah berjaya dikumpul untuk lapan.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa kebanyakan responden tidak merasakan kerajaan melayan semua kaum secara adil. Bagaimanapun, kaum Melayu dan Cina melihat ini lebih sebagai isu kelas, manakala kaum India melihatnya lebih kepada isu etnik.

Kurang daripada separuh daripada responden (42 peratus Melayu, 45 peratus Cina, dan 31 peratus India) percaya bahawa "kerajaan dan agensinya melayan semua kaum  secara adil."

Di kalangan mereka yang berasa layanan tidak adil, bilangan dua kali lebih ramai orang Melayu melihat perkara ini melalui perspektif kelas, iaitu, "kerajaan dan agensinya biasanya berpihak kepada mereka yang kaya dan berkuasa berbanding orang kebanyakan seperti saya" (41 peratus), berbanding mereka yang melihatnya  sebagai perkauman, "kerajaan dan agensinya biasanya berpihak kepada kaum lain berbanding kaum kita" (17 peratus).

Begitu juga, walaupun dengan margin yang lebih kecil, lebih ramai responden Cina menganggap ketidakadilan kerajaan melalui lensa kelas (32 peratus) dan bukannya lensa kaum (23 peratus).

Bagi responden India, bagaimanapun, majoriti berpendapat bahawa "kerajaan dan agensinya biasanya memihak kepada kaum lain berbanding kaum kita" (37 peratus0, berbanding mereka yang merasakan diskriminasi berdasarkan kelas atau kerajaan telah berlaku adil (kedua-duanya 31 peratus).

Dapatan lain ialah majoriti mahu kerajaan bertindak menentang keganasan tanpa larangan menyeluruh terhadap perbincangan 3R (kaum, agama, Raja-raja).

Daripada tinjauan itu, 78 peratus responden Melayu mahu kerajaan "mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan, ancaman, atau hasutan keganasan, sama ada isu itu berkaitan dengan 3R atau tidak."

Sebaliknya, 67 peratus responden Melayu mahu kerajaan "melarang komen yang menghina atau memudaratkan dalam perbincangan 3R," manakala hanya 41 peratus menyokong larangan sepenuhnya "sebarang perbincangan berkaitan 3R, walaupun perbincangan itu sivil dan rasional."

Tahap sokongan yang sama tetapi lebih rendah diperhatikan dalam kalangan responden India (tindakan terhadap keganasan - 63 peratus; larangan ucapan kebencian dalam perbincangan 3R - 56 peratus; dan larangan semua perbincangan 3R - 34 peratus) dan responden Cina (55 peratus, 42 peratus, dan 26 peratus).

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS