Aplikasi mencari jodoh yang baru, ‘Jodoh Darul Iman,’ akan dilancarkan tidak lama lagi di Terengganu, khusus untuk individu bujang serta ibu dan bapa tunggal yang mencari pasangan hidup dalam kerangka Islam.
Namun, aplikasi ini hanya membenarkan perkahwinan pertama dan bukan untuk poligami.
Inisiatif yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) ini bertujuan membantu individu mencari pasangan yang sesuai melalui proses yang patuh syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Maliaman Kassim berkata aplikasi ini untuk orang bujang atau ibu bapa tunggal yang mempunyai niat ikhlas untuk berkahwin.
“Aplikasi ini akan diperkenalkan setelah YPKT mengadakan simulasi untuk memastikan ia berjalan lancar.
“Kita berharap lebih ramai golongan bujang, ibu atau bapa tunggal akan mendapat pasangan hidup dengan cara patuh syariah mengikut acuan Islam,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Tiada pertemuan berdua
Maliaman berkata aplikasi ini dibangunkan untuk mempromosikan interaksi yang beradab, membantu pengguna mengenal pasti pasangan yang memenuhi kriteria bersama dan pada masa sama mewujudkan persekitaran yang hormat.
“Kita juga mahu mencipta suasana yang harmoni dan penuh kesopanan antara generasi muda yang ingin memulakan kehidupan suami isteri dengan menjaga adab pergaulan sebelum berkahwin,” katanya.
Setelah pengguna saling menyatakan minat, katanya lagi, mereka tidak dibenarkan bertemu secara peribadi.
“Apabila sudah ‘berkenan’, bakal pasangan tidak boleh keluar berduaan sebaliknya, pertemuan antara dua pihak akan diatur bersama kaunselor yang bertanggungjawab untuk memastikan proses perkenalan nanti berjalan mengikut syariah,” katanya.
Pada 2022, Terengganu mencatatkan penurunan dalam kadar perkahwinan Muslim sebanyak 11.3 peratus.
Menurut laporan, penurunan ini adalah sebahagian daripada trend nasional di mana perkahwinan Muslim menurun sebanyak 4.1 peratus. Umur median bagi pengantin lelaki kekal pada 28 tahun, manakala umur median bagi pengantin perempuan meningkat kepada 27 tahun.
Selain itu, terdapat peningkatan ketara dalam kes perceraian Muslim, iaitu sebanyak 45.8 peratus, dengan jumlah kes sebanyak 46,138 pada 2022 berbanding 31,650 pada tahun sebelumnya.