Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO lancar petisyen mohon pengampunan buat banduan lumpuh
Diterbitkan:  Nov 14, 2024 11:20 AM
Dikemaskini: 6:04 AM

NGO menentang hukuman mati, Hayat melancarkan petisyen pengampunan untuk Thanakorn Sinsanoi, 33, yang menjadi lumpuh ketika menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena di Kedah, atas kesalahan penyeludupan dadah.

Dalam petisyen pengampunan itu, Hayat berkata kemudahan penjara tidak dapat memberikan penjagaan yang diperlukan banduan transgender itu, yang menjadi lumpuh dari leher ke bawah akibat jangkitan tuberkulosis sebanyak dua kali di penjara itu.

Pada Jun lalu, kata Hayat, banduan warga Thailand itu ditempatkan di bilik rawatan penjara dengan “tempat tidur yang kotor, ada luka baru yang tidak dirawat, serta dihurung lalat”.

Thanakorn dijaga oleh seorang rakan banduan lelaki, kata Hayat.

Memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf identiti transgender, Thanakorn menjalani hukuman di bahagian penjara lelaki, kata kumpulan itu.

Hayat turut menggesa orang ramai agar memohon kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk pengampunannya.

Ini kerana Thanakorn ditahan dan disabitkan atas kesalahan yang dilakukan di KLIA di Sepang, yang terletak dalam Selangor.

Sultan Sharafuddin adalah pengerusi Lembaga Pengampunan Selangor.

Dalam hantaran di Instagram semalam, Hayat turut mengongsikan contoh surat yang boleh dihantar orang ramai kepada Sultan Sharafuddin, Penjara Pokok Sena, wakil rakyat, Pejabat Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Dia mengalami komplikasi yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah (juga dikenali sebagai quadriplegia).

“Doktornya di penjara maklum yang dia tidak dapat mengawal badannya dari pinggang ke bawah dan hanya ada kawalan tangan yang terhad,” menurut surat itu.

“Ekoran keadaan kesihatannya, satu beg kolostomi turut dipasang di badannya.

“Pada masa ini, dia ditahan dalam kawasan klinik penjara,” menurut surat itu lagi.

Dadah disembunyi dalam sari

Menurut Hayat, Thanakorn ditahan ketika dalam perjalanan dari India ke Thailand.

NGO itu berkata pada mulanya, dia ke India selepas seorang kawannya menjanjikan pekerjaan kepadanya, namun ia sebenarnya tidak wujud.

Rakannya kemudian mengaturkan perjalanan pulang ke Thailand melalui kapal terbang untuk Thanakorn, menerusi Malaysia.

Ketika itu, dia membawa bersama beberapa helai sari, dikatakan sebagai buah tangan untuk keluarganya, namun dadah jenis methamphetamine telah disembunyikan dalam sari itu.

Menurut Hayat, Thanakorn ditahan selepas tiba di Terminal 2 KLIA.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS