PARLIMEN l Kementerian Pertahanan telah mempunyai keputusan terhadap mereka yang terbabit dengan kes buli di Universiti Pertahan Nasional Malaysia (UPNM), baru-baru ini.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, sama ada mereka yang terbabit itu akan dibuang universiti dan perlu membayar balik pembiayaan atau tidak, akan ditentukan oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT).
Katanya, keputusan itu akan disahkan dalam persidang MAT kelak.
"Kes-kes yang ada ni memang sudah ada pun keputusan yang perlu disahkan MAT bila bersidang kelak.
"Soal kena buang, soal kena bayar balik denda dan soal kena keluar daripada asrama itu memang keputusan yang telah diambil untuk disahkan dan kita juga libatkan kepada Kes yang telah dilibatkan dan hukuman telah diputuskan.
"Kita juga akan tekankan keseriusan kesalahan bersubahat mana-mana pihak menyembunyikan kes itu juga satu kesalahan, ini yang kita tekankan," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pagi ini.
Khaled berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH- Batu Pahat).
Onn bertanyakan apa langkah yang diambil kementerian itu bagi memberi sokongan kepada mereka yang menjadi mangsa buli di UPNM.
Pada 30 Oktober lalu, UPNM merekodkan satu lagi kes penderaan kejam berlaku di universiti pertahanan itu yang menyaksikan seorang kadet mengalami kesan melecur di dadanya selepas didera dan dibuli senior dengan menggunakan seterika panas
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan
Tidak berakhir di situ, pada 10 November lalu, satu lagi kes buli melibatkan penuntut UPNM dilaporkan berlaku.
Kali ini ia membabitkan seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima satu laporan pada kira-kira pukul 8.40 malam pada 8 November lalu.
Mengulas lanjut, Khaled berkata pihaknya akan memberi perlindungan serta memastikan mangsa buli kembali normal.
"Soal mangsa tak ada masalah kita akan pastikan dia kembali menjadi normal," katanya.
Dalam pada itu, Khaled berkata, pemeriksaan fizikal berkala akan dijalankan terhadap pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengesan sebarang aktiviti penderaan.
Katanya, ia antara lapan tindakan penambahbaikan serta mekanisme pencegahan yang telah dan sedang diambil bagi mengelak kejadian buli daripada berulang.
Beliau berkata selain itu, sesi pertemuan antara pegawai kadet dan pihak tertinggi ALK-UPNM secara eksklusif turut diadakan untuk memberikan ruang bebas tanpa perasaan takut bagi mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan pegawai kadet.
"Ini bagi mengatasi isu keengganan pegawai kadet melapor kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya," katanya menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai usaha kerajaan memastikan kegiatan buli di UPNM dinoktahkan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Khaled berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah menambah perjawatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang ditugaskan di ALK-UPNM dan menambah jurulatih bagi meningkatkan pemantauan terhadap pegawai kadet.
Beliau berkata penambahan pegawai melibatkan 48 orang berbanding 31 pegawai sebelum ini manakala 182 LLP ditambah berbanding 124 LLP.
Khaled berkata ATM juga menetapkan seorang jurulatih bertugas bagi setiap Kompeni untuk membolehkan pemantauan pegawai kadet yang lebih teliti setiap hari.
“Jurulatih bertugas telah diarahkan untuk melakukan rondaan ke penginapan pegawai kadet selepas 11:59 malam setiap hari,” katanya sambil menambah tindakan pemberhentian akan dilaksanakan terhadap pegawai kadet yang didapati bersalah melakukan penderaan.
Bermula Febuari 2023, beliau berkata tujuh kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di beberapa aras blok penginapan bagi mengesan aktiviti mencurigakan dan kementerian sedang merancang untuk menambah jumlah itu mengikut keperluan dan kesesuaian.
Dalam pada itu, pengasingan pegawai kadet tahun satu dilakukan di Bukit Putera bermula April lepas dan diletakkan di bawah kelolaan jurulatih sepenuhnya memandangkan golongan itu biasanya menjadi sasaran.
Khaled memaklumkan kes buli yang dilaporkan di ALK hanya bertambah pada tahun ini berbanding 2022 dan 2023 yang masing-masing merekodkan satu kes.
Beliau berkata kementerian akan mendedahkan bentuk-bentuk kesalahan dan hukuman berat yang dikenakan kepada pembuli, selain menekankan keseriusan kesalahan bersubahat menyembunyikan kejadian buli di ALK.