Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Media AS ramal Republikan kekal berkuasa di Dewan Perwakilan
Diterbitkan:  Nov 14, 2024 10:57 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

GLOBAL l Beberapa saluran media Amerika Syarikat melaporkan pada Rabu bahawa Republikan memperoleh cukup kerusi untuk mengekalkan kuasa di Dewan Perwakilan Rakyat AS, lapor Xinhua.

Dengan sekurang-kurangnya 218 kerusi, parti itu telah mencapai ambang majoriti yang diperlukan dalam dewan yang mempunyai 435 ahli, memastikan mereka terus memimpin Dewan Perwakilan.

NBC News dan CNN membuat ramalan ini pada petang Rabu, dengan sembilan kerusi Dewan yang masih belum diputuskan.

Setakat ini, Republikan menawan tujuh kerusi daripada Demokrat, sementara Demokrat pula menawan enam kerusi daripada Republikan, dengan kiraan 218 berbanding 208.

Menurut ramalan awal, Parti Republikan menawan empat kerusi daripada Parti Demokrat di Senat, sekaligus meraih semula majoriti.

Majoriti 53 kerusi dalam dewan seramai 100 ahli Senat ini akan memberi keuntungan kepada agenda Republikan pada tahun depan.

Pemilihan presiden antara Donald Trump dan lawannya dari Demokrat, Kamala Harris diumumkan lebih awal pada Rabu minggu lalu, apabila beberapa saluran media AS meramalkan bahawa calon Republikan akan memenangi lebih 270 undi Badan Perwakilan Pemilih, jumlah yang diperlukan untuk memenangi jawatan presiden.

Trump seterusnya memenangi ketujuh-tujuh negeri utama, meningkatkan jumlah undinya dalam Badan Perwakilan Pemilih kepada 312, berbanding 226 untuk Harris.

Trump juga memenangi undi popular dalam pilihan raya presiden 2024, kali pertama dalam tiga kempen presidennya.

- Bernama-Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS