Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memberi penjelasan berkaitan skandal visa perubatan untuk membawa masuk warga asing.
Sumber JIM mendedahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
"Kami (JIM) terima surat daripada EIAC pada minggu lepas minta memberi maklumat mengenai lebih 500 warga asing daripada lebih kurang 10 negara yang diluluskan 'medical visa' oleh seorang pegawai JIM," kata sumber itu.
Menurutnya, majoriti yang mendapat kelulusan adalah daripada negara China.
"Banyak yang terima kelulusan daripada negara China. Kami dengar EAIC menulis surat juga kepada polis untuk meminta keterangan berhubung kelulusan ini," katanya.
Ketika dihubungi, EAIC berkata agensi itu tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan diselesaikan.
"Keputusan EAIC mengenai perkara ini kekal. Tiada sebarang kenyataan lanjut akan dikeluarkan kerana siasatan masih dijalankan," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi JIM dan masih menunggu maklum balas,
Sebelum ini, EAIC menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat isu salah laku terkait sindiket itu.
Siasatan penuh dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Mereka juga menyerbu Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen (JIM) di Putrajaya serta menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan).
Selain pegawai JIM, siasatan turut melibatkan beberapa pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
JIM sebelum ini memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang terlibat dalam sindiket itu.
EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang, antara lain, mempunyai kuasa menyiasat sebarang aduan salah laku penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.
Sementara itu, seorang sumber polis yang rapat dengan kes ini mengesahkan bahawa pihak polis menerima surat daripada EAIC.
"Kami terima surat daripada EAIC.
"Daripada senarai nama yang kami dapat (warga asing yang mendapat kelulusan visa perubatan) ada antaranya pernah kami tahan atas kesalahan penipuan.
"Kami masih memperincikan kes-kes ini sebelum membalas surat EAIC itu," kata sumber itu.
Malaysiakini telah menghubungi polis untuk mendapatkan ulasan.