Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Muhyiddin lebih berjaya kawal persaingan dalam parti berbanding Anwar'

Seorang pemimpin Bersatu menyifatkan pemilihan Bersatu diselesaikan dengan lancar termasuk dalam mengawal persaingan dalaman adalah hasil kebolehan presiden partinya Muhyiddin Yassin.

Walaupun wujud dakwaan berlakunya pertembungan antara kem, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Afif Bahardin berkata perkara itu hanyalah spekulasi, dan akhirnya keputusan perwakilan menzahirkan pilihan seperti yang disaran pucuk pimpinan tertinggi.

"Saya tak rasalah sebenarnya ada kem. Cuma mungkinlah cakap-cakap (spekulasi) itu ada, kata macam orang ini favour (cenderung) orang itu, orang itu favour orang ini.

"Tapi akhirnya kalau kita tengok kepada keputusan pemilihan itu perwakilan memilih seperti yang disarankan oleh presiden.

“Yang mana timbalan presiden kekal tak ada pertandingan.

"(Jawatan) naib presiden walaupun ada pertandingan tetapi yang dicadangkan dalam konvensyen tempoh hari (tetap) dipilih oleh sebagai naib presiden," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas isu-isu yang berbangkit seputar pemilihan Bersatu yang berlangsung minggu lalu.

Pemilihan itu menyaksikan Muhyiddin menang tanpa bertanding mengekalkan jawatan presiden, manakala timbalannya Hamzah Zainudin juga menang tanpa persaingan.

Bagi jawatan naib presiden, persaingan enam penjuru dimenangi calon seperti yang disarankan dalam 'pelan kompromi' kepimpinan Bersatu iaitu Ahmad Faizal Azumu, Ronald Kiandee dan Radzi Jidin.

Ahmad Faizal merupakan pendahulu Hamzah sebagai timbalan presiden, bagaimanapun 'diturunkan pangkat’ kepada naib presiden, manakala seorang lagi pemimpin Bersatu iaitu Azmin Ali disebut-sebut akan menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha agung menggantikan Hamzah.

Pertembungan Azmin dan Rafizi

Afif yang juga Adun Taman Medan berkata, dalam soal barisan kepimpinan parti Muhyiddin memberikan pandangan yang jelas dan perkara itu disahut oleh perwakilan.

Bahkan tegasnya, langkah penyelesaian dilakukan Muhyiddin gagal dilakukan individu lain seperti Presiden PKR Anwar Ibrahim gagal menangani pertembungan dalam pemilihan PKR sebelum ini.

"Kalau kita lihat betul sebelum ini bukanlah pertembungan tetapi lebih kepada persaingan untuk sama ada (berpihak) kepada Hamzah ke atau Faizal atau Azmin ke sebagai timbalan presiden.

"Tetapi (perkara) itu telah berjaya diselesaikan oleh Muhyiddin dan saya yakin benda itu tak akan mampu dibuat pun oleh individu (lain) seperti Anwar Ibrahim selaku presiden parti.

"Dia (Anwar) gagal untuk uruskan ketika pertembungan diantara Azmin dan Rafizi Ramli (dalam PKR) sebelum ini. Kemudian pertembungan Rafizi dan Saifuddin Nasution pun dia tak dapat selesaikan.

"Dan saya rasa kalau tahun hadapan PKR berdepan dengan pemilihan parti, saya percaya akan ada pertembungan lagi yang mana Anwar tak akan mampu selesaikan. Ini berbeza kepimpinan yang ditunjukkan oleh Muhyiddin," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS