Amanah Johor kesal apabila hasrat parti itu yang mahu bertanding di 12 ke 20 kerusi DUN pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang mendapat tentangan sesetengah pemimpin Umno.
"Kami ingin memaklumkan bahawa keputusan yang telah kami buat tidak membabitkan mana-mana parti sekalipun dan ia adalah pendirian yang diasaskan selepas perbincangan dan kajian yang telah dilakukan oleh pihak kami.
"Pendirian kami ini sangatlah jelas (loud and clear) bagi menghadapi PRN atau PRU 16 sekiranya kami dan Pakatan Harapan bersama dengan Umno BN di bawah jenama Kerajaan Perpaduan Madani ataupun persediaan awal dalam pertembungan tiga penjuru yang membabitkan gabungan PH, BN dan PN.
"Kami juga hairan kenapa Umno terlalu takut dan ghairah dalam menghentam Amanah Johor dalam isu ini sedangkan ianya tidak membabitkan langsung serta memetik nama mana-mana parti dalam kenyataan sebelum ini," kata Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad (gambar judul) pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Walaupun tidak menyebut nama, dipercayai Dzulkefly memberi maklum balas terhadap kenyataan Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman (gambar atas) sebelum ini.
Pemimpin Umno negeri itu menyifatkan kenyataan pemimpin Amanah yang mahu bertanding di 20 kerusi pada PRN, termasuk berdepan dengan Umno dan BN sebagai 'menjolok sarang tebuan' dan 'tak sedar diuntung'.
Abdul Halim juga menyindir selera dan nafsu Amanah Johor mahukan jawatan dalam kerajaan negeri tak pernah padam, malah semakin menjadi-jadi.
Menurutnya, kenyataan timbalan pengerusi Amanah Johor itu menggambarkan mereka tidak kisah untuk langgar sesiapa pun asalkan dapat apa yang diingini.
"Alasannya mudah saja. Sebab BN Johor masih tak mahu bentuk kerajaan perpaduan walaupun selepas menang PRK DUN Mahkota.
"Saya lihat kenyataan ni macam nak jolok sarang tebuan dan isytihar perang dengan Umno dan BN.
“Padahal Umno sudah duduk diam selepas presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) berpesan supaya kita tak usik rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan," kata Abdul Halim pada 5 Nov lalu.
Sementara itu Dzulkefly berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri sebelum ini menyatakan mereka belum bersedia mengumumkan jika kerjasama parti itu dengan PH akan terpakai dalam PRN Johor akan datang seperti mana formula yang diguna pakai di PRN Sabah tahun hadapan.
"Kesediaan kami ini berasas dan bukan hanya cakap kosong kerana menurut rekod sebelum ini pada PRU 14, PH berjaya dipilih menjadi kerajaan di Johor dengan Amanah mendapat sebanyak 9 kerusi DUN ketika itu namun ketimbang dengan prestasi ketika di PRN 15 PH hanya memenangi 12 kerusi DUN sahaja dan Amanah hanya menang 1 kerusi kerana PRN tersebut diadakan dalam fasa Pandemik Covid 19 ketika itu.
"Pihak kami juga ingin menjelaskan, janganlah ada pihak hanya mahu kami sahaja mendengar cakap mereka tanpa mendengar pula di pihak yang lain seperti apa yang berlaku di Johor ini.
"Sehubungan dengan itu, Amanah Johor berharap sekiranya Umno benar-benar ikhlas dalam meneruskan hubungan dengan PH, Umno bolehlah berbincang dengan pihak kami serta mendapatkan maklumat sebelum terus menyindir dan mengkritik kawan yang sama-sama membantu mereka," kata Dzulkefly lagi.
Pada September tahun lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi memberitahu tiada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan negerinya ditubuhkan sebelum PRU15.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook pula sebelum ini berharap polemik kerajaan perpaduan di Johor dihentikan dan tidak perlu ditimbulkan lagi.