Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 ahli geng pecah rumah, seludup senjata api ditembak mati
Diterbitkan:  Nov 13, 2024 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Polis menembak mati tiga lelaki yang aktif menyeludup senjata api, pecah rumah dan curi kenderaan mewah sehingga menyebabkan kerugian lebih RM4 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menjalankan operasi cegah jenayah.

Mereka kemudian terserempak dengan dua buah kereta mencurigakan di Jalan Changkat-Pulau Burung di Nibong Tebal, SPS.

"Polis bertindak menghampiri Honda Accord dan Perodua Myvi itu kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai pihak polis.

"Tiba-tiba suspek terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.

"Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki berumur 30 hingga 42 tahun itu mati di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.

Hamzah berkata pemeriksaan di tempat kejadian menemukan sepucuk pistol semi automatik, sepucuk Revolver, sekotak bullet master mengandungi 50 butir peluru 9mm luger A Usa, sekotak 9 mm luger mengandungi 44 butir peluru D62, dua bilah parang, kuku kambing, tukul besi dan pelbagai peralatan mencuri kenderaan.

Hamzah berkata semakan mendapati kereta Honda Accord yang digunakan mereka dilaporkan hilang di Seri Kembangan, Selangor manakala Perodua Myvi itu tidak melibatkan sebarang rekod kehilangan.

Katanya, semasa kejadian semua suspek dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan samun di lokasi yang telah dikenal pasti tidak jauh dari tempat mereka berbalas tembakan.

"Siasatan awal mendapati tiga lelaki terbabit giat menjalankan kegiatan mencuri kenderaan mewah dan pacuan empat roda serta pecah rumah di sekitar Pulau Pinang sejak awal tahun ini sehingga menyebabkan kerugian lebih RM4 juta.

"Modus operandi mereka ialah menyasarkan kediaman mewah sebelum memecah masuk dan mencuri.

"Kenderaan mewah serta pacuan empat roda yang dilarikan pula akan diseludup ke negara jiran untuk dijual di sana," katanya.

Hamzah juga menjelaskan kumpulan terbabit memperoleh senjata api dari negara jiran yang diseludup masuk ke Malaysia.

Katanya lagi, semua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Hasil pemeriksaan polis, menurut Hamzah, mendapati suspek pertama yang berumur 42 tahun merupakan ketua kumpulan terbabit dan mempunyai 35 kesalahan lampau berkaitan jenayah serta lapan kesalahan narkotik.

Menurut Hamzah suspek kedua pula mempunyai enam rekod lampau kesalahan narkotik manakala suspek ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

"Dengan tertumpasnya tiga penjenayah itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 33 kes curi kenderaan, samun dan pecah rumah yang berlaku di Pulau Pinang sejak awal tahun ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS