Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Ketika seorang ahli parlimen kerajaan mengeluh mengenai peruntukan yang dianggap tidak memadai untuk kawasannya, curahan rasa itu disambut pula oleh pembangkang dengan rasa 'amat simpati.'

Bahkan, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) memberitahu Dewan Rakyat, dia sendiri hampir "menitiskan air mata" mendengar keluhan disuarakan V Ganabatirau (PH-Klang).

Sebelum itu Ganabatirau menceritakan kesukaran yang dialaminya sebagai ahli parlimen jika peruntukan yang diberi kerajaan adalah sama rata di seluruh kawasan.

Kata Ganabatirau jika keadaan itu dilaksanakan ia dianggap tidak adil kerana kawasan parlimen Klang mengandungi lebih 215,000 pengundi.

'Menyambut' kata-kata ahli parlimen dari DAP itu, Ahmad Fadhli berkata dia berasa terharu dan sedih mendengar bagaimana kesukaran dialami nanti dengan peruntukan yang diberi.

"Hampir menangis air mata saya, hampir bercucuran air mata saya, terharu dan sedih kerana Klang menyatakan bahawa peruntukan untuk rakyatnya (pengundi di kawasan Klang) tidak cukup untuk diagihkan," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025.

Dia yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat itu menambah - secara sinis - bahawa bagi ahli parlimen pembangkang ia tidaklah menjadi masalah besar.

Sepakat tolak MOU

"Saya rasa agak tersentuh hati dan saya bersimpati dengan nasib yang dialami oleh ahli-ahi parlimen di pihak kerajaan.

"Kami (pembangkang) tak apalah kalau tak ada peruntukan.... Tak apa sebab rakyat kami tak makan beras, tapi makan pasir barangkali," katanya.

Isu peruntukan seimbang di antara ahli parlimen pembangkang dan kerajaan menjadi polemik sejak sekian lama dan selalu dibangkitkan di parlimen.

Putrajaya sebelum ini menawarkan persefahaman dengan pembangkang bagi membolehkan peruntukan sama rata diberikan kepada mereka.

V Ganabatirau

Bagaimanapun pada 2 Sept lalu PN menganggap draf memorandum persefahaman (MOU) dihulur kerajaan sebagai "pelik sikit" apabila meletakkan tujuh syarat.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Takiyuddin Hassan, berkata draf yang belum dibincangkan secara mendalam itu meletakkan beberapa syarat yang mesti dipersetujui sebelum perjanjian itu dimeterai.

Katanya, antara aspek yang ditekankan oleh pihak kerajaan kepada pembangkang ialah pengisytiharan harta.

Pada 15 Sept, PN mengesahkan mereka sebulat suara menolak dua set draf cadangan (MOU) daripada kerajaan.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, menjelaskan keputusan itu dibuat atas empat sebab fundamental, antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS