Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat ugutan bunuh diterima pemberi maklumat
Diterbitkan:  Nov 13, 2024 3:48 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Polis sedang menyiasat ugutan bunuh yang diterima oleh pemberi maklumat yang memiliki klip video yang didakwa memaparkan ahli politik berbincang mengenai penerimaan rasuah.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

“Malah suspek juga menghantar dua keping gambar pistol bersama peluru dan sekeping gambar orang ditembak dan terbaring di atas jalan.

"Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di balai polis untuk tindakan selanjutnya," kata Razarudin.

Razarudin menambah bahawa pemberi maklumat itu, menerima ugutan berkenaan pada 11 Nov, jam 11.02 malam ketika dia berada di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Dia berkata lelaki itu menerima panggilan telefon melalui WhatApps daripada nombor tidak dikenali.

"Dalam percakapan menerusi panggilan telefon itu, suspek yang dipercayai lelaki tempatan telah mengugut pengadu dengan kenyataan dalam bahasa Cina, bahawa suspek mengaku daripada kumpulan pembunuh upahan untuk membunuh pengadu.

"Suspek telah menerima arahan untuk membunuh pengadu dalam masa 24 jam jika pengadu tidak tutup mulut dan suspek menyatakan panggilan ini adalah amaran terakhir kepada pengadu," katanya.

Razarudin berkata pengadu berasa amat takut dan bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

"Siasatan polis mendapati pengadu hanya menerima satu panggilan sahaja dan tidak menerima apa-apa gangguan selepas ‘report and block’ nombor telefon itu.

"Polis telah membuat semakan nombor telefon melalui sistem CCIU dan IPRS, dan mendapati nombor telefon itu tiada dalam perkhidmatan serta tiada rekod pemilik dan penama," katanya.

Razarudin berkata polis tidak menerima sebarang laporan ke atas nombor telefon itu dan carian rekod adalah negatif.

Menurut laporan polis yang dibuat semalam, pemberi maklumat terbabit berkata dia menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp dari nombor yang tidak dikenalinya.

Katanya, melalui panggilan selama kira-kira 16 saat itu, seorang lelaki mengugut - dalam bahasa Cina - mendakwa dia daripada kumpulan pembunuh upahan yang diarahkan untuk membunuhnya terbabit dalam tempoh 24 jam jika gagal menutup mulut.

"Dia berkata itu adalah amaran terakhir untuk saya.

“Pemanggil itu turut menghantar gambar pistol dan peluru serta gambar seorang lelaki yang ditembak dan terbaring di atas jalan.

“Saya sangat takut. Saya takut keselamatan diri saya dan keselamatan keluarga saya,” kata laporan itu yang dilihat Malaysiakini.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan pemberi maklumat tidak akan mendapat perlindungan sekiranya mereka pemberi rasuah.

Katanya, pemberi rasuah juga perlu disiasat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS