PARLIMEN l Kerajaan disaran supaya segera melaksanakan reformasi dengan mengadakan pelantikan ahli majlis di Kuala Lumpur, kata Lim Lip Eng (PH-Kepong).
Menurutnya, tiada alasan lagi untuk kerajaan menangguhkan perkara itu sedangkan semua negeri di negara ini telah melaksanakan pelantikan berkenaan.
"Saya mohon mencadangkan satu reformasi utama yang sangat penting dan kritikal untuk penduduk di ibu kota Malaysia iaitu, pelantikan ahli majlis di Kuala Lumpur.
"Semua negeri di Malaysia dari yang terkecil hingga yang terbesar telah melaksanakan sistem pelantikan ahli majlis kecuali Kuala Lumpur.
"Sesungguhnya saya berpendapat tiada alasan lagi untuk Kuala Lumpur tidak melaksanakan sistem ini," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa.
Lim berkata jika negeri lain boleh melaksanakan perkara itu kenapa tidak di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet yang kini dalam siasatan SPRM, Lim mempertikaikan mengapa tiada pegawai GLC itu yang disiasat sehingga kini.
"Mengapa tiada pegawai Khazanah dan PNB dipanggil disiasat oleh SPRM. FashionValet mengalami kerugian lima tahun berturut-turut sebanyak berpuluh juta ringgit sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dibuat.
"Adalah terang lagi bersuluh pelaburan itu tidak masuk akal...budak sekolah rendah juga akan menasihat kerajaan supaya tidak melabur dalam FashionValet," katanya.