Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan Pendakwa Raya putuskan tindakan lanjut kes Daim, kata SPRM
Diterbitkan:  Nov 13, 2024 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Sebarang tindakan seterusnya berhubung kes Allahyarham Daim Zainuddin yang sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah akan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Menurutnya, SPRM akan mengadakan perbincangan bersama TPR dan tindakan seterusnya akan diputuskan oleh pihak terbabit. 

"Kami akan membincangkan dengan pihak TPR mengenai bagaimana pemergian Allahyarham Tun Daim berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan.

“Kami di SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat,” katanya kepada media, hari ini.

Bagaimanapun,Azam  berkata, perkara itu kemungkinan akan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu dan SPRM akan memberikan kemas kini sebaik keputusan dibuat.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bekas menteri kewangan itu meninggal dunia di Hospital Assunta di Petaling Jaya, pagi ini.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 86 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Na’imah Abdul Khalid dan lima anak.

Taikun perniagaan itu pertama kali dilantik menjadi menteri kewangan pada 1984 oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Dia berkhidmat sehingga 1991.

Dia sekali lagi dilantik ke jawatan itu pada 1999, juga oleh Mahathir, sebelum meletakkan jawatan pada 2001.

Daim pernah menjadi ahli Umno dan pernah menjadi ahli Parlimen selama lima penggal, dari 1982 hingga 1999 (di Kuala Muda untuk sepenggal, dan di Merbok untuk empat penggal).

Dikenali sebagai sekutu rapat Mahathir, dia dipecat daripada Umno selepas menyertai ceramah PH di Melaka pada 2018.

Daim mutakhir ini menjadi perhatian selepas SPRM memulakan siasatan ke atasnya berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dia turut didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.

Pada Disember tahun lalu, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi miliknya.

Na’imah turut didakwa di mahkamah atas dakwaan serupa, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri mendakwa dia memiliki tunggakan cukai berjumlah RM313 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS