Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham Daim Zainuddin, yang meninggal dunia pagi tadi.
Dalam satu hantaran ringkas di media sosial, Anwar berkata Daim merupakan tokoh yang telah menyumbang kepada negara, terutama ketika menjadi menteri kewangan.
“Terima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainuddin setibanya di Lima, Peru. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.
“Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi menteri kewangan. Al-Fatihah,” kata Anwar.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Assunta di Petaling Jaya, Selangor pagi tadi.
Ketika mengesahkan berita itu, peguamnya, Gurdial Singh Nijar memaklumkan Daim mengalami strok baru-baru ini dan menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut.
Baca: K'jaan, pemimpin politik ucap takziah buat keluarga Daim
Dewan Rakyat hari ini bertafakur selama satu minit bagi menghormati pemergian Allahyarham.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Na’imah Abdul Khalid dan lima cahaya mata.
Dia menjadi menteri kewangan sebanyak dua kali, iaitu pada 1984 hingga 1991 dan pada 1999 hingga 2001 - kedua-duanya ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sebagai sekutu rapatnya.
Daim yang juga taikun perniagaan kembali aktif di pentas politik apabila menyertai kempen PH semasa PRU 2018 yang diketuai Mahathir yang ketika itu menjadi pengerusi Bersatu.
PRU itu mencatat sejarah apabila BN kalah buat kali pertama. Dr Mahathir kemudian sekali lagi menjadi perdana menteri dan Daim dilantik menjadi pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.
Daim sekali lagi menjadi perhatian selepas SPRM memulakan siasatan ke atasnya berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Dia didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset miliknya. Isterinya, Na’imah turut berdapan dakwaan yang sama.
Hubungan Anwar-Daim
Daim dan Na’imah kemudian mendakwa pentadbiran Anwar melakukan pendakwaan politik terhadap mereka.
Walaupun pernah bersama-sama berkhidmat ketika pentadbiran Mahathir, kedua-duanya dilihat tidak mempunyai hubungan yang baik.
Namun, ketika kemuncak skandal 1MDB, Daim berkata dia kembali menjadi peguam atas tujuan melawat Anwar semasa pengerusi PH itu menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.
Daim ketika itu berkata lawatan itu untuk membincangkan soal usaha menjatuhkan pentadbiran Najib Razak.
Hubungan mereka dilihat kembali renggang selepas keruntuhan kerajaan PH pimpinan Mahathir.
Pada Jun 2022, Daim berkata Anwar sepatutnya bersara daripada politik dan memberi laluan kepada pemimpin lebih muda.
Anwar kemudian membalas dengan berkata Daim “tak tidur malam” jika dia menjadi perdana menteri, sambil menambah Daim perlu memberi penjelasan berkenaan pendedahan Kertas Pandora, yang antara lain mengandungi dakwaan berkenaan akaun luar pesisir miliknya.