Seorang mudir dipenjara enam bulan dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Pilah hari ini di atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah di sebuah madrasah di daerah itu, sejak 2021.
Zahanizam Rohan, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syarie Sabarudin Bidin yang turut memutuskan penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan Zahanizam didakwa mengajar agama Islam berkaitan tauhid di sebuah madrasah di Kampung Ulu Beting tanpa tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, antara Disember 2021 hingga September lepas.
Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 53 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019 iaitu mengajar agama tanpa tauliah yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sabarudin berkata tujuan pemerintah meletakkan undang-undang berkaitan tauliah dan agama adalah untuk menjaga kemaslahatan supaya tidak berlaku kerosakan kepada orang Islam sekiranya ajaran itu bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang boleh menjadi kanser dan merosakkan masyarakat.
“Jadi sebagai pengajaran, maka suatu hukuman diberikan supaya tertuduh rasa insaf dan bertaubat supaya tidak melakukan kesalahan seperti ini lagi,” kata Hakim Syarie itu.
Terdahulu Zahanizam dalam rayuannya memohon dikenakan denda paling rendah dan tidak dipenjarakan berikutan tidak bekerja serta menanggung 12 anak dan seorang isteri selain sedang menjalani proses pemurnian akidah di sebuah pusat pemulihan akidah di Ulu Yam, Selangor selama tiga bulan.
Pendakwa Syarie Kanan Zarul Izham Jaapar bagaimanapun meminta hukuman berat diberikan memandangkan kesalahan itu berlaku dalam tempoh lama dan sewajarnya tertuduh mengetahui apa jua pengajaran terutama ajaran Islam mesti melalui sistem pentauliahan ditetapkan kerajaan.
“Pihak pendakwa memandang serius isu ini yang turut tular dan diambil berat oleh pemerintah. Saya mohon hukuman berat dijatuhkan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan sesiapa sahaja yang tidak memiliki tauliah mengajar supaya mendapatkan tauliah sekali gus tidak berlaku sebarang ajaran yang menyeleweng,” katanya.
- Bernama