Ketika Monsun Timur Laut mula melanda negara - dan membawa lebih banyak hujan khususnya di Pantai Timur - Kelantan mempunyai perancangan tersendiri khususnya melibatkan sektor pelancongan.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Kamarudin Md Noor, biasanya semasa musim tengkujuh sektor tersebut agak sepi.
Katanya, Kelantan mahu keadaan itu berubah pada kali ini. Justeru kerajaan negeri sedang mengatur pelbagai program yang dianggap sesuai semasa musim tengkujuh.
Antaranya, kata Kamaruddin, penyediaan makanan istimewa dan kegiatan meluncur ombak.
“Kalau kita perhatikan pada musim tengkujuh ada beberapa jenis makanan yang hanya ada semasa musim tersebut.
"Contohnya putu halba, masakan yang berasaskan ikan darat serta beberapa jenis ubi,” katanya yang dipetik Harakahdaily hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Monsul Timur Laut mula melanda Semenanjung Malaysia mulai 5 Nov dan berpanjangan sehingga Mac tahun depan.
Semasa musim itu melanda, dijangka ada lima episod luruan sejuk - dengan angin kencang yang membawa kelembapan tinggi dan hujan lebat berterusan - berlangsung.
Setiap episod luruan sejuk itu pula berpotensi menyebabkan banjir besar di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu antara Nov hingga Dis, sebelum diikuti Pahang dan Johor pada hujung tahun hingga awal 2025.
Pun begitu kerajaan Kelantan dilaporkan sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata pengalaman berdepan 'bah kuning' pada 2014 banyak memberi pengajaran kepada kerajaan negeri untuk sentiasa bersedia dengan perancangan awal.
Kata Kamaruddin semasa musim tengkujuh ramai pelancong mengelak daripada berkunjung ke Kelantan kerana bimbang terhadap risiko banjir.
Pakej main hujan
Pun begitu kerajaan negeri berpendapat ada keistimewaan lain yang hanya dapat dinikmati semasa musim tersebut, khususnya untuk orang di luar Kelantan.
Menurut Kamaruddin, makanan istimewa semasa banjir adalah perkara lumrah untuk penduduk setempat namun sesuatu yang baru buat orang lain.
“Kegiatan luncur ombak pula sangat sesuai pada musim tengkujuh memandangkan ombaknya begitu besar.
"Sekarang ini aktiviti luncur ombak sedang berkembang di Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya lagi.
Pengerusi Bersatu Kelantan itu juga menambah, ada beberapa pusat percutian yang mengadakan aktiviti meluncur ombak.
"Ini sesuatu yang bagus. Kita akan uar-uarkan untuk menarik pelancong tempatan dan antarabangsa datang,” jelasnya.
Untuk rekod, pelan pelancongan musim tengkujuh turut digerakkan oleh kerajaan Terengganu pada tahun lalu.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris, biasanya musim tengkujuh digambarkan sebagai waktu yang tidak sesuai untuk melancong ke negeri itu.
"Persepsi ini salah kerana kita masih banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan termasuk pakej main hujan di Setiu Wetland, Rainforest Challenge, Monsoon Ride dan macam-macam lagi," katanya.